Mohd Roji Kawi


KAWASAN barat Sarawak kini menerima kesan fenomena jerebu teruk yang sedang melanda Kalimantan Barat, Indonesia.

Sehingga jam 9 pagi ini, dua kawasan baharu mencatat kualiti udara pada tahap tidak sihat iaitu Samarahan pada tahap 105 dan Sri Aman pada tahap 122.

Ia sekali gus menjadikan tiga lokasi di Sarawak mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, selain Miri yang mencatat bacaan 101.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, bandar raya Kuching turut terjejas apabila bacaan IPU mencecah 98.

“Jerebu dari Kalimantan Barat akan memberi banyak kesan di kawasan Kuching, Samarahan dan Sri Aman kerana pergerakannya mengikut arah angin dari wilayah itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini

Beliau berkata, Stesen Pengawasan Udara Automatik lain di negeri ini masih mencatatkan bacaan pada tahap sederhana pagi ini iaitu SK Baram 2 di Miri (70), Kuching (98), Sarikei (81), Bintulu (79), Samalaju (77), Sibu (72), Mukah (82), Kapit (62) dan Limbang (52).

Katanya lagi, jarak penglihatan juga semakin merosot dengan Kuching 4 kilometer (km), Bintulu (5 km) dan Miri (8 km).

“Jarak penglihatan normal ialah 10 km,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 10:28 AM