SRI Aman. FOTO Arkib NSTP
SRI Aman. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi

Kuching: Hujan lebat di barat Sarawak malam dan awal pagi tadi menyumbang kepada pemulihan kualiti udara khususnya di kawasan Sri Aman dan Serian, hari ini.

Berdasarkan rekod Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di dua lokaliti itu kini kembali ke tahap sederhana selepas mencecah paras tidak sihat, semalam.

Stesen Sri Aman mula kembali kepada tahap sederhana apabila mencatat bacaan IPU 101 pada jam 10 malam tadi dan sehingga jam 10 pagi ini, bacaan berada pada kadar 91.

Satu lagi stesen yang mencatat tahap tidak sihat semalam iaitu di IPD Serian (MCAQM) pula mula kembali ke tahap hijau dengan bacaan IPU 99 pada jam 8 pagi tadi.

Sehingga jam 10 pagi ini, bacaan IPU di stesen IPD Serian (MCAQM) berada pada kadar 95.

Sementara itu, 10 stesen lain turut berada pada tahap sederhana iaitu Limbang (53), ILP Miri (65), Miri (67), Samalaju (73), Bintulu (75), Mukah (76), Kapit (76), Sibu (75), Sarikei (81), Samarahan (89) dan Kuching (86).

Bagaimanapun, bacaan IPU dikhuatiri meningkat semula apabila cuaca kembali panas mulai jam 9 pagi tadi

Ia berikutan carian di laman web Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) mendapati banyak titik panas dikesan di Kalimantan, Indonesia, semalam.

Pada masa yang sama, tidak kurang 10 titik panas turut dikesan di Sarawak terutamanya di kawasan pedalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 10:58 AM