Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


WARIS tiga mangsa rentung dalam kemalangan di Kilometer 43 Jalan Temerloh-Bahau dekat Mengkuang, Bera, pagi ini diminta tampil membantu polis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, sehingga kini pihaknya belum dapat mengenal pasti identiti mangsa.

Katanya, tiada juga waris yang datang menuntut mayat mangsa yang ketika ini ditempatkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.

“Identiti ketiga-tiga mangsa sedang kita kenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang ditemui pada mereka disebabkan kereta hangus terbakar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamarulzaman berkata, dalam kejadian 6 pagi itu mangsa menaiki Proton Wira dikatakan dalam perjalanan ke Kemanyan dari arah Triang, sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar lori jenis Mitsubishi.

Katanya, akibat pelanggaran itu lori yang dari arah Kemanyan merempuh pula lori jenis Nissan di hadapannya.

“Kemalangan menyebabkan Proton Wira dinaiki mangsa terbakar dan semua mereka ditemui dalam keadaan rentung. Bomba tiba di lokasi untuk memadam kebakaran dan mengeluarkan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori Mitsubishi dikenali Yap Yoon Fatt, 41, dan pemandu lori Nissan Zambros Zulkifli, 48, tidak cedera namun, penumpang lori Nissan Muhamad Khairul Ikhmar Zulkefli, 24, cedera di kaki kiri.

Katanya, keterangan dua pemandu lori itu sudah diambil dan turut meminta saksi kejadian tampil untuk bantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

Kereta terbakar, tiga rentung

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 2:27 PM