KEADAAN kenderaan yang  kemalangan di KM86 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, semalam.
KEADAAN kenderaan yang kemalangan di KM86 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, semalam.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

MARAN: Seorang rentung manakala tiga lagi termasuk dua warga Myanmar parah dalam kemalangan membabitkan lori dan treler di Kilometer (KM) 86 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, mangsa, Mazwan Faiz Basiran, 31, maut di lokasi kemalangan akibat tersepit di tempat duduk pemandu dan lori dipandu terbakar.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, tiga mangsa yang parah adalah dua penumpang lori yang juga warga Myanmar iaitu Aung Min, 39, Tuaye Myant, 30-an dan pemandu treler, Mohd Shafie Khamsi, 47.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika treler membawa muatan besi itu dalam perjalanan dari Temerloh menuju Gebeng, Kuantan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian yang juga kawasan selekoh, lori dipandu Mazwan Faiz dari arah bertentangan masuk ke laluan bersebelahan dan bertembung treler membawa besi.

“Treler berkenaan terbabas ke sebelah kanan jalan, sementara lori dipandu Mazwan Faiz terbakar. Namun kedua-dua warga Myanmar berada dalam lori berkenaan yang parah di kepala dan tangan sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Katanya, Mohd Shafie yang dilaporkan cedera pada dada dan tangan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh bersama dua lagi mangsa yang parah untuk menerima rawatan lanjut.

Kamarulzaman berkata, anggota bomba membantu untuk mengeluarkan mayat Mazwan Faiz yang tersepit di tempat duduknya sebelum dihantar ke Jabatan Forensik, HoSHAS untuk bedah siasat.

“Kami masih meneruskan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 5:40 AM