Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Polis mengesan waris bagi empat individu yang meninggal dunia termasuk seorang rentung dalam kemalangan babit dua kereta di Kilometer 58.4 Lebuhraya Utara Selatan di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pendang Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, pihaknya dimaklum kemalangan itu pada 2.30 pagi dan ia masih dalam siasatan termasuk mengenal pasti identiti mangsa.

Berikutan itu, katanya, orang ramai yang ada kehilangan waris boleh menghubungi Inspektor Muhamad Atiq Elias daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Pendang di talian 012-7778761 atau 04-7592122 untuk membantu siasatan.

"Dalam siasatan awal, kemalangan didapati berlaku apabila Proton Wira dinaiki tiga individu hilang kawalan dan berpusing sebelum dilanggar dari arah hadapan oleh Nissan Almera dipandu lelaki belum dikenal pasti.

"Pelanggaran menyebabkan Proton Wira terbabas dan melanggar penghadang jalan, manakala Nissan Almera terbakar yang menyebabkan pemandunya rentung.

"Pemandu dan dua penumpang Proton Wira turut meninggal dunia. Kita sedang mengesan saksi kejadian serta waris mangsa untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan empat individu maut dalam kemalangan babitkan dua kereta dengan sebuah daripadanya musnah terbakar.

Berita berkaitan

Empat maut termasuk seorang rentung

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 10:56 AM