RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) kejadian samun di stesen minyak Jalan Kuala Kangsar-Taiping, Changkat Jering tular di Facebook. FOTO Facebook
RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) kejadian samun di stesen minyak Jalan Kuala Kangsar-Taiping, Changkat Jering tular di Facebook. FOTO Facebook
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

‘BELI’ air minuman sebelum samun. Begitu taktik dua lelaki yang menyamun sebuah stesen minyak menggunakan parang di Jalan Kuala Kangsar-Taiping, Changkat Jering, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, dalam kejadian 3 petang itu, seorang suspek berpura-pura mahu membayar minuman dalam tin di kedai serbaneka dalam stesen minyak berkenaan.

Menurutnya, suspek yang memakai topi bersama penutup hidung dan mulut kemudian secara tiba-tiba meluru masuk ke bahagian kaunter pembayaran.

“Suspek bertindak mengeluarkan parang dan mengacukannya kepada pekerja yang menjaga kaunter terbabit.

“Dia kemudian membuka laci lalu mengambil wang tunai, kad tambah nilai telefon bimbit serta rokok dianggarkan berjumlah keseluruhan RM3,500,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek melarikan diri dengan menaiki motosikal Yamaha LC 135 warna hitam bersama rakannya.

Katanya, pihak polis sedang memburu kedua-dua suspek untuk membanti siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak berkenaan tular di Facebook, hari ini memperlihatkan dua suspek memasuki kedai serbaneka berkenaan.

Suspek bertopi keledar dan berpenutup hidung serta mulut dilihat membantu rakannya mengambil wang dan barangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 7:08 PM