Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN lima lelaki dan seorang wanita menyamun dan melarikan penuntut warga Zimbabwe mengundang padah apabila mereka ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, kejadian berlaku 3.45 pagi kelmarin apabila Pusat Kawalan Daerah (PKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kes samun.

Menurutnya, empat lelaki bersenjatakan spanar pembuka tayar melarikan mangsa berusia 25 tahun di Taman Perumahan SS 14/4 dengan Proton Inspira merah.

“Bertindak atas maklumat itu dua unit peronda polis (MPV) IPD Subang Jaya ke lokasi sebelum terserempak dengan kereta suspek.

“Anggota polis kemudian mengejar suspek dari SS 14/4 sehingga ke pusat beli belah Mid Valley, Kuala Lumpur namun gagal apabila mereka dapat meloloskan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Risikin berkata, penuntut sebuah kolej swasta itu kemudian ditinggalkan di tepi Jalan Tamarind, Taman Selatan, Klang pada 5.30 pagi.

“Mangsa tidak dicederakan dan hilang wang tunai RM26 serta telefon bimbit.

“Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) IPD Subang Jaya dengan Unit Bahagian Operasi Khas (D8) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kemudian membuat tindakan susulan dan menahan suspek semalam,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan pertama membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 26 tahun di Taman Bayu Tinggi, Klang pada 12.30 tengah malam.

“Turut dirampas telefon bimbit, beg silang, Pronton Inspira merah dan spanar tayar dipercayai digunakan untuk menyamun.

“Susulan itu, dua lagi lelaki berusia 19 dan 26 tahun ditahan sejam kemudian di sebuah rumah kedai di Jalan Teluk Pulai, Klang dipercayai turut terbabit bagi bantu siasatan,” katanya.

Katanya, turut dirampas telefon bimbit dan semakan mendapati empat suspek itu memiliki rekod jenayah lampau samun, merusuh, curi, menipu, dadah serta Akta Kesalahan Kecil.

“Suspek direman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395, 397 dan 363 Kanun Keseksaan.

“Kita juga sedang menjalankan siasatan pembabitan suspek dalam kes ini dan jenayah lain di daerah ini serta Lembah Klang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 8:14 AM