Waris mangsa kebakaran yang rentung dicari. FOTO Ihsan JBPM
Waris mangsa kebakaran yang rentung dicari. FOTO Ihsan JBPM
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS meminta bantuan orang ramai atau waris mangsa menghubungi pihaknya susulan penemuan mayat rentung dalam kebakaran lot kedai di Jalan Reko, Taman Sahabat, Kajang hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, mangsa dipercayai lelaki ditemui rentung di bawah timbunan atap zink dan tiada pengenalan diri ditemui.

Katanya, pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan unit anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut dipanggil membantu siasatan.

“Siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan tidak menemui sebarang peralatan yang menjadi punca kebakaran.

“Mayat kemudian dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau waris diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes Sarjan Shawarudin Idris di talian 019-3457527 atau Balai Polis Kajang di talian 03-89114222.

Portal berita Harian Metro hari ini melaporkan mayat belum dikenal pasti identiti ditemui rentung dalam kebakaran lot kedai di Jalan Reko, Taman Sahabat.

Komander Operasi, Mohamad Syahrul Hafizi Norisham berkata, Pusat Gerakan Operasi Selangor menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada 1.24 tengah hari.

Berita berkaitan

Mayat rentung dalam kebakaran

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 10:37 PM