Kereta dinaiki warga Nepal hilang kawalan dan terbalik menyebabkan mereka maut. FOTO Nabihah Kamal
Kereta dinaiki warga Nepal hilang kawalan dan terbalik menyebabkan mereka maut. FOTO Nabihah Kamal
Nabihah Kamal


Kajang: Akibat mabuk, dua lelaki warga Nepal maut selepas kereta dinaiki hilang kawalan dan terbalik dalam kejadian berhampiran Stesen KTMB di Jalan Reko, di sini, 12 tengah malam tadi.

Mangsa dikenal pasti sebagai Santa Lal Negi,39, yang memandu kereta dan rakannya Bahadur Subedi,28.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, kereta yang dipandu mangsa terbabas melanggar tembok sebelum terseret sejauh enam meter.

"Akibat hilang kawalan, kenderaan itu merempuh sebuah lagi kereta yang keluar dari simpang tempat letak kenderaan di stesen KTMB.

"Pemandu dan penumpang warga Nepal itu maut di tempat kejadian akibat tersepit manakala pemandu kereta yang dirempuh tidak cedera," katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, ketika kejadian kedua-dua warga Nepal berkenaan dalam keadaan mabuk.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan masih menunggu waris untuk menuntut mayat mereka

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 12:45 PM