PENDUDUK bergotong-royong membasmi aedes untuk mencegah denggi di Bandar Tun Razak. FOTO Zunnur Al Syafiq
PENDUDUK bergotong-royong membasmi aedes untuk mencegah denggi di Bandar Tun Razak. FOTO Zunnur Al Syafiq
Mohd Firdaus Ibrahim


PENINGKATAN kes demam denggi yang semakin membimbangkan khususnya di Lembah Klang mendorong pelbagai pihak mengambil inisiatif membersihkan kawasan perumahan mereka.

Semalam, lebih 50 penduduk di Lorong Mewah 8, 9 dan 10, Bandar Tun Razak dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Persatuan Sahabat Jiwa Murni Kuala Lumpur (PSJMKL) serta Pejabat Kesihatan Cheras mengadakan Program Gotong-Royong Basmi Aedes Cegah Denggi bagi membersihkan kawasan perumahan mereka.

Ketua Cabang PKR Bandar Tun Razak Azman Abidin berkata, program sedemikian perlu diteruskan kerana kawasan perumahan itu dikategorikan sebagai lokasi hotspot denggi.

“Selain membersihkan kawasan sekitar, saya seru pemilik dan penghuni (rumah) supaya menjaga kebersihan di dalam rumah masing-masing. Kita sibuk bersih kawasan luar tetapi rumah sendiri jadi sarang aedes maka masalah ini tidak akan selesai.

“Semua (penduduk) perlu menjalankan peranan masing-masing dan bersama dalam membanteras penularan denggi,” katanya yang mewakili Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar untuk merasmikan program berkenaan.

PERSATUAN Sahabat Jiwa Murni Kuala Lumpur (PSJMKL) di program gotong-royong. FOTO Zunnur Al Syafiq
PERSATUAN Sahabat Jiwa Murni Kuala Lumpur (PSJMKL) di program gotong-royong. FOTO Zunnur Al Syafiq

Terdahulu dalam ucapannya, Azman berkata, beberapa kawasan di Bandar Tun Razak termasuk Lorong Mewah menjadi kawasan hotspot denggi.

Katanya yang memberitahu kategori hotspot dikelaskan berdasarkan dua kes yang dilaporkan berlaku dalam masa tujuh hari.

“Ini tidak boleh dibiarkan, jadi kita perlu berusaha dan bekerjasama dengan semua pihak bagi menanganinya,” katanya, pihaknya akan menggerakkan badan bukan kerajaan (NGO) dan DBKL serta pihak berkaitan untuk memperbanyakkan program seumpama itu.

Tambahnya, selain memerangi penularan denggi, program sedemikian mampu mengeratkan silaturahim antara penduduk sekitar.

Untuk rekod, kes denggi di seluruh negara terus meningkat dengan keseluruhan 75,913 kes dilaporkan selain 108 kematian direkodkan sehingga kelmarin.

Statistik berkenaan dikeluarkan Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan yang dimuat naik menerusi laman rasminya, http://idengue.remotesensing.gov.my.

Menurut data yang dikeluarkan itu, Selangor terus mendahului dengan 42,700 kes dilaporkan diikuti Kuala Lumpur (8,545), Johor (6,373), Pulau Pinang (3,258), Sabah (3,050), Kelantan (2,549), Perak (1,903), Negeri Sembilan (1,404), Melaka (1,264), Kedah (1,158), Sarawak (1,118), Pahang (1,119), Putrajaya (824), Terengganu (384), Perlis (238) dan Labuan (26).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 5:01 AM