KEADAAN lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Azam Shah Yaacob dan Muhaamad Hafis Nawawi


MEMILUKAN bagi seorang lelaki apabila terpaksa melihat abang ipar serta dua lagi jiran lelakinya maut akibat terkena renjatan elektrik.

Ia selepas ketiga-tiganya cuba menyelamatkan seorang wanita hamil yang meninggal dunia selepas tangga separa siap rumah teres dua tingkat yang sedang dalam pembinaan runtuh di Kampung Matang Pagar, Sungai Buloh, hari ini.

Malah, Rahmat Selamat, 33, berkata, dia bersama dua lagi jirannya hanya mampu menunggu sebaik menyedari abang iparnya, Mohd Radezi Abdul Aziz, 35, serta tiga jirannya kaku terkena renjatan elektrik.

Katanya, ketika kejadian, dia bersama abang iparnya serta dua lagi lelaki sedang memotong rumput sebelum terdengar bunyi dentuman yang kuat selain suara wanita menjerit.

“Kami berempat termasuk arwah abang ipar terus berlari ke arah bunyi berkenaan sebelum mendapati runtuhan bangunan di salah satu unit rumah yang terletak dalam jarak kira-kira 20 meter dari lokasi kami,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Sungai Buloh, hari ini.

Menurutnya, sebaik mereka sampai di rumah berkenaan, dia melihat jirannya, Shahril Apipie Mokhtar menyelinap masuk ke bawah runtuhan tangga konkrit bagi menyelamatkan isterinya.

Katanya, mereka kemudian cuba mengangkat runtuhan berkenaan bersama seorang lagi jiran mereka, warga Indonesia iaitu Bambang Sulistion yang tinggal berdekatan yang datang untuk membantu.

“Pada waktu itu, kami berlima cuba mengangkat runtuhan dari sebelah hadapan tangga namun tak berjaya sebelum Bambang dan abang ipar saya masuk ke bahagian dalam rumah untuk mengangkat runtuhan berkenaan dari dalam.

“Namun, sebaik Bambang memegang batu, dia menjerit ‘karan’ sebanyak dua kali sebelum melihat lelaki itu serta abang iparnya kaku terdiam tidak bergerak,” katanya.

Rahmat berkata, pada waktu itu mereka menyedari terdapat arus elektrik di situ dan cuba memanggil nama Bambang dan Mohd Radezi beberapa kali, namun tidak berjawab.

Katanya, mereka juga cuba menolak badan Bambang dan Mohd Radezi menggunakan kayu, namun tidak berjaya seakan-akan melekat.

“Pada waktu itu, kami juga cuba memanggil nama Shahril dan isterinya, namun tiada maklum balas.

“Kami hanya mampu melihat sahaja mereka tanpa dapat membantu apa-apa kerana khuatir terkena arus elektrik berkenaan,” katanya.

Menurut Rahmat, pasukan paramedik, polis dan bomba yang tiba juga tidak dapat membantu kerana bimbang terkena renjatan elektrik.

Katanya, hanya selepas kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tiba 45 minit kemudian bagi mematikan arus elektrik berkenaan, barulah operasi menyelamat dan mengeluar kesemua mangsa dapat dilakukan.

Berita berkaitan

[UPDATE] Hajat bersalin di Kelantan

(UPDATE) Mangsa suami isteri ditemui berpelukan [METRO TV]

4 maut terkena renjatan elektrik

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 7:49 PM