Mohd Azam Shah Yaakob dan Muhaamad Hafis Nawawi


MAYAT pasangan suami isteri ditemui dalam keadaan berpeluk dari arah belakang selepas tangga separa siap rumah teres dua tingkat yang sedang dalam pembinaan runtuh di Kampung Matang Pagar, Sungai Buloh, hari ini.

Pasangan terbabit Shahril Apipie Mokhtar, 29, dan isterinya, Wan Hasheliza Wan Ibrahim, 29, maut selepas tangga itu runtuh sebelum terkena renjatan elektrik.

Turut terkorban jiran yang cuba menyelamatkan mereka Mohd Radezi Abdul Aziz, 35, dan warga Indonesia, Bambang Sulisto, 39.

Lebih menyedihkan wanita terbabit sarat mengandung lapan bulan anak sulung mereka.

Ketua Zon 1, Shah Alam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Razali Mohd Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.57 tengah hari dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam tiba di lokasi 10 minit kemudian.

Katanya, sebelum kejadian difahamkan wanita terbabit sedang makan durian di bawah tangga itu sebelum tiba-tiba ia runtuh.

“Suaminya yang berada di dalam rumah terdengar jeritan isterinya cuba menyelamatkan wanita itu yang tersepit tangan.

“Ketika itu juga jiran mereka turut datang membantu namun wayar kabel berhampiran rumah terputus menyebabkan mereka terkena renjatan elektrik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Razali berkata, bomba terpaksa menunggu Tenaga Nasional Berhad (TNB) mematikan bekalan elektrik itu sebelum usaha membawa keluar mangsa dijalankan.

“Kita mengambil masa 45 minit untuk membawa keluar mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk di hantar ke Hospital Sungai Buloh.

“Pasangan terbabit menyewa di rumah bahagian bawah sementara bahagian atas sedang dalam proses ubah suai,” katanya.

Beliau berkata, pasangan terbabit juga ditemui dalam keadaan berpeluk kemungkinan suaminya ingin menarik keluar wanita itu sebelum terkena renjatan.

Berita berkaitan

4 maut terkena renjatan elektrik

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 4:42 PM
Razali (kiri) melihat keadaan tangga  runtuh yang mengorbankan empat mangsa di Kampung Matang Pagar, Sungai Buloh. FOTO Syarafiq Abd Samad
Razali (kiri) melihat keadaan tangga runtuh yang mengorbankan empat mangsa di Kampung Matang Pagar, Sungai Buloh. FOTO Syarafiq Abd Samad