BERNAMA

WARGA emas dipercayai mengalami serangan jantung ketika memandu menyebabkan kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 30, Jalan Temerloh-Bahau di Bera, Kuantan hari ini.

Ketua Polis Daerah Bera Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, kejadian 11.45 pagi itu menyebabkan Lui Siong Kuan, 69, dari Triang, Bera ditemui maut di tempat duduk pemandu kenderaan pacuan empat roda miliknya.

Dua lagi kenderaan yang terbabit ialah Perodua Kancil dipandu Sub Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bera dan Toyota Avanza milik Pejabat Kesihatan Daerah Bera yang dinaiki suami isteri.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda itu yang dalam perjalanan dari Kerayong menuju ke Triang terbabas dan merempuh sisi kanan Kancil yang berada di laluan bertentangan.

“Kereta mangsa kemudiannya melanggar pula kereta pejabat kesihatan yang juga berada di laluan bertentangan sebelum berhenti selepas melanggar tiang elektrik di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, semua tiga mangsa dari dua kenderaan lain mengalami kecederaan di bahagian kepala dan bahu kanan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 8:45 PM