AHLI sindiket perjudian dalam talian ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, petang semalam. FOTO ihsan polis.
AHLI sindiket perjudian dalam talian ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, petang semalam. FOTO ihsan polis.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS menumpaskan sindiket perjudian dalam talian selepas menyerbu sebuah rumah dijadikan sebagai pusat operasi di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, petang semalam.

Serbuan pada 3.55 petang itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, ahli sindiket terdiri daripada sembilan lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan selain merampas pelbagai peralatan digunakan untuk menjalankan kegiatan judi dalam talian.

Beliau berkata, siasatan mendapati premis yang disewa sindiket berkenaan dijadikan ‘calling center’ atau pusat panggilan untuk tujuan pertaruhan.

“Siasatan mendapati sindiket terbabit mensasarkan rakyat China dan tempatan sebagai pelanggan mereka.

“Dalam serbuan bersama pasukan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields itu, kami merampas pelbagai peralatan antaranya 18 monitor komputer, sembilan unit pemprosesan komputer (CPU), 28 telefon bimbit, serta 30 modem, router dan peralatan lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rusdi berkata, semua individu ditahan dibawa ke IPD Brickfields dan siasatan lanjut berhubung modus operandi dan dalang utama sindiket ini masih dijalankan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan (d) Akta Pertaruhan 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 12:07 AM