MAZLAN (dua dari kiri) menunjukkan peralatan  milik sindiket judi yang dirampas.
MAZLAN (dua dari kiri) menunjukkan peralatan milik sindiket judi yang dirampas.
Nurul Hidayah Bahaudin dan Teoh Pei Ying

Kuala Lumpur: Tawarkan khidmat perjudian kasino alam maya kepada puluhan ribu pelanggan dengan pendapatan mencecahkan RM3.36 juta sebulan.

Itu antara kegiatan lima pakar judi dalam talian yang aktif mempromosi kegiatan judi menerusi iklan di laman sesawang, media sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Taktik digunakan sindiket judi dalam talian itu turut menarik ramai kaki judi di China untuk menyertai pertaruhan disediakan sindiket berpangkalan di negara ini.

Kegiatan sindiket itu bagaimanapun terbongkar selepas serbuan Operasi Dadu (Op Dadu) dilakukan sepasukan polis Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sebuah pangsapuri di Jalan Klang Lama di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, serbuan dilakukan pada jam 3.45 petang hasil maklumat diterima.

“Ketika serbuan, terdapat lima lelaki berusia antara 22 dan 28 tahun yang bertugas sebagai pelayan pelanggan ditahan.

“Kami turut merampas 14 komputer, 40 kad sim, sebuah GSM SMS Blasting Machine, dua link router, satu modem perkhidmatan jalur lebar (WiFi), 42 telefon bimbit dan lima komputer riba,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, semalam.

Mazlan berkata, individu yang berminat untuk bertaruh judi diarah memasukkan kredit minimum RM10 ke dalam akaun bank milik individu tempatan atau warga China seperti diarahkan sindiket.

“Pemain perlu menunjukkan resit wang dimasukkan dalam akaun bank berkenaan sebelum diberikan kata laluan bagi bertaruh 10 permainan judi dalam talian ditawarkan.

“Sindiket ini dipercayai meraih jumlah pertaruhan sebanyak RM3.36 juta sebulan apabila mengumpul RM120,000 wang pertaruhan sehari daripada aktiviti dilakukan sejak hampir setahun lalu.

“Malah, siasatan lanjut mendapati sindiket itu mempunyai kira-kira 20,000 pelanggan berdaftar dari dalam dan luar negara termasuk China,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan dalang yang menubuhkan pusat panggilan terbabit termasuk mengambil keterangan pemilik unit pangsapuri yang memberi kontrak sewa premis itu selama dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 12:42 PM