POLIS menahan 26 warga China termasuk empat wanita dalam serbuan di sebuah banglo di Jalan Hillview 3, Ampang yang dijadikan 'counting center' satu sindiket judi dalam talian, semalam. FOTO Hasbi Sidek.
POLIS menahan 26 warga China termasuk empat wanita dalam serbuan di sebuah banglo di Jalan Hillview 3, Ampang yang dijadikan 'counting center' satu sindiket judi dalam talian, semalam. FOTO Hasbi Sidek.
Hasbi Sidek


SINDIKET judi dalam talian warga China yang ‘bersembunyi’ di sebuah rumah banglo dua tingkat di kawasan perumahan mewah serta dikawal pengawal rapi keselamatan dekat Taman Hill View, Ampang, berjaya dihidu pihak berkuasa.

Sindiket berkenaan yang dikesan beroperasi sebagai ‘counting center’ sejak dua bulan lalu itu dipercayai mengaut wang pertaruhan sehingga mencecah RM48 juta sehari.

Serbuan dijalankan pasukan dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor pada 9.30 pagi semalam berjaya melumpuhkan sindiket berkenaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Selangor, Asisten Komisioner Mohamad Abd Hamid berkata, ketika serbuan dijalankan, pekerja di dalam banglo berkenaan sedang menjalankan operasi.

“Selepas menjalankan pemeriksaan, kami menahan 22 lelaki dan empat wanita. Semuanya warga China berusia dari 21 hingga 43 tahun.

“Kami merampas pelbagai peralatan digunakan untuk mempromosikan dan mengambil pertaruhan daripada pelanggan membabitkan 329 telefon bimbit, tiga komputer riba dan satu set komputer,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Beliau berkata, sindiket berkenaan menyewa banglo dua tingkat berkenaan dan kawasan perumahan dijaga pengawal keselamatan, sekali gus menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan kegiatan mereka.

“Hasil siasatan kami mendapati mereka mempromosikan judi atas talian kepada warga China dengan wang pertaruhan serendah RM2, namun mereka mengutip wang pertaruhan atas talian sehingga mencecah RM48 juta sehari.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan mereka turut disiasat mengikut kesalahan imigresen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 1:25 AM