POLIS menggeledah rumah dihuni suspek ketika Ops Sarang di Subang Jaya. FOTO IHSAN PDRM
POLIS menggeledah rumah dihuni suspek ketika Ops Sarang di Subang Jaya. FOTO IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS menahan lapan ‘kaki lalok’ dalam Ops Sarang diadakan sekitar daerah ini bersama dadah syabu seberat 1.26 gram dan air ketum, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, operasi bermula jam 7 pagi hingga 4 petang dilakukan di Jalan SS16/4C dan Puchong Permai, Subang Jaya, bertujuan mengesan dan menahan pengedar serta penagih dadah.

Menurutnya, dalam serbuan itu, sembilan individu diperiksa namun hanya lapan ditahan membabitkan lima warga tempatan dan tiga warga Thailand.

“Tujuh individu ditahan kerana memiliki dadah sementara seorang lagi positif ujian saringan air kencing.

“Dalam operasi sama, polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 0.1 gram di Jalan SS15/4 sementara dua paket plastik lutsinar dadah syabu seberat 1.25 gram dirampas di belakang lorong kawasan sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Risikin berkata, pihaknya turut merampas satu bungkusan mengandungi dua liter air ketum di sebuah kedai tom yam di Puchong Permai.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15 (1)(a) akta sama dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 9:13 PM