SEBAHAGIAN daripada penagih yang ditahan dalam serbuan Op Tapis Khas 6.0 yang dilakukan di Kedah sejak Januari hingga September lalu. FOTO Ihsan PDRM
SEBAHAGIAN daripada penagih yang ditahan dalam serbuan Op Tapis Khas 6.0 yang dilakukan di Kedah sejak Januari hingga September lalu. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Seramai 10,221 penagih dan pengedar ditahan manakala pelbagai jenis dadah bernilai RM11 juta dirampas dalam Op Tapis Khas 6.0 dilaksanakan Polis Kedah dalam tempoh Januari hingga September lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, seramai 2,500 pengedar dadah ditahan iaitu 797 mengikut Seksyen 39B, 509 mengikut Seksyen 39A (2) dan 1,194 orang mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, seramai 111 pengedar dadah ditahan dan disiasat mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 manakala 326 dituduh mengikut Seksyen 39C ADB 1952.

"Jumlah penagih yang ditahan pula seramai 7,721 orang dari 7,204 kes. Manakala rampasan dadah terbesar adalah syabu iaitu sebanyak 252.1 kilogram (kg) diikuti ganja iaitu 236.8 kg dan dadah jenis candu iaitu 10.4 kg selain rampasan daun ketum sebanyak 21,000 kg.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM11 juta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Hassan berkata, pada 26 hingga 28 September lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah menjalankan Op Tapis Khas 6.0 yang dilakukan serentak di negari ini.

Beliau berkata, 11 daerah di negeri ini terbabit dalam operasi ini yang tertumpu di kawasan sarang penagih dadah serta kawasan tumpuan 'hot spot'.

"Hasil operasi itu, kita berjaya menahan 329 individu kerana melakukan pelbagai kesalahan dadah iaitu 18 orang ditahan mengikut Seksyen 39B ADB 1952, 20 mengikut Seksyen 39A (2) 12 orang bagi Seksyen 39A (1).

"Selain itu, sembilan orang ditahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan 217 orang ditahan mengikut Seksyen 15(1) ADB 1952," katanya.

Wan Hassan berkata, dalam operasi itu, JSJN Kedah turut merampas dadah jenis heroin dianggarkan seberat 1,311.89 gram, ganja (1,045.20 gram), syabu (55.71 gram), ketamin (254.20 gram) pil erimin 5 (335.50 gram), pil Yaba seberat 3.40 gram serta rampasan 277.80 liter air ketum.

Beliau berkata, pada 13 dan 14 Julai lalu, JSJN Kedah yang dibantu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan Ops Cantas Khas di Projek Perumahan Rakyat Paya Nahu, Sungai Petani.

"Dalam operasi itu, seramai 43 orang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan membabitkan dadah dan jenayah.

"Seorang daripadanya ditahan mengikut Seksyen 39A (1) ADB 1952, tiga orang daripadanya mengikut Seksyen 12(2), tiga orang lagi ditahan mengikut Seksyen 6 dan 28 orang ditahan mengikut Seksyen 15(1) ADB 1952.

"Dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis heroin seberat 2.6 gram, ganja seberat 2.72 gram, syabu 2.31 gram, air ketum sebanyak 200 mililiter (ml) serta 200 ml ubat batuk," katanya.

Wan Hassan berkata, dalam operasi pada 22 hingga 24 September lalu, Polis Kedah turut melaksanakan operasi Op Cantas Khas di sekitar kawasan Kuala Kedah yang membabitkan pelbagai jabatan.

Beliau berkata, dalam operasi itu, seramai 89 orang ditahan bagi kesalahan dadah dan jenayah.

"Dalam operasi itu, pihaknya turut merampas dadah jenis heroin seberat 6.68 gram serta enam liter air ketum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 3:05 PM