WAN Kamarul Azran (tengah) menunjukkan air ketum yang dirampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang. FOTO BERNAMA
WAN Kamarul Azran (tengah) menunjukkan air ketum yang dirampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang. FOTO BERNAMA
Samadi Ahmad

Sepang: Serbuan terhadap tiga rumah di Putra Perdana, Puchong, dekat sini, membongkar kegiatan satu sindiket penjualan air ketum, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, tiga serbuan berasingan jam 11 malam itu, dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dan IPD Subang Jaya.

Menurutnya, ia membabitkan tiga rumah teres dua tingkat di sekitar Putra Perdana.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 240 kilogram (kg) daun ketum, 152 botol air ketum dan wang tunai RM12,325 yang keseluruhannya bernilai RM25,000," katanya pada sidang media di IPD Sepang, di sini, semalam.

Wan Kamarul berkata, pihaknya juga menahan tujuh lelaki tempatan dan seorang lelaki serta wanita warga Indonesia berusia antara 30 hingga 40 tahun.

Katanya, dua suspek yang ditahan positif dadah jenis syabu, seorang positif ganja, manakala dua lagi mempunyai rekod lampau jenayah dadah.

"Operasi itu selepas polis melakukan risikan tiga minggu hasil aduan orang awam berkaitan aktiviti penjualan air ketum yang beroperasi hampir dua bulan.

"Sindiket itu mensasarkan penjualan air ketum untuk jualan di sekitar Subang Jaya, Puchong dan Putra Perdana yang dijual dengan RM20 sebotol dan RM40 sekilogram bagi daun ketum.

"Pemeriksaan ke atas tiga rumah teres yang disewa itu menemui 25 bungkusan plastik mengandungi daun ketum, dua set dapur, dua set periuk, dua tong gas, botol plastik kosong dan alat penimbang," katanya.

Wan Kamarul berkata, suspek mendapat bekalan daun ketum dari Hilir Perak menggunakan khidmat kenderaan perdagangan dan rampasan itu adalah terbesar diadakan sepanjang tahun ini.

Katanya, lima suspek direman bermula semalam sehingga 20 Februari manakala empat lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3), Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau dipenjara tidak lebih empat tahun," katanya.

Selain itu, tiga individu yang didapati positif dadah disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (A), Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih daripada RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun serta dua tahun pengawasan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 2:49 PM