FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

KERAJAAN negeri Johor sudah mengurniakan 23,000 hak milik tanah kepada peneroka Felda sehingga kini, manakala baki 3,000 lagi akan diselesaikan sejurus beberapa masalah teknikal diatasi.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, buat masa ini seramai 27,000 peneroka mendiami 73 rancangan Felda di seluruh Johor.

“Kerajaan negeri sentiasa mengambil berat mengenai kebajikan dan nasib kehidupan peneroka dan generasinya.

“Oleh itu, baki 3,000 yang belum menerima hak milik akan diusahakan sebaik beberapa masalah berkaitan dapat diatasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah Peneroka Peringkat 2 dan 3 Felda Simpang Waha, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi, ADUN Sedili Rasman Ithnain dan ADUN Johor Lama Rosleli Jahari.

Pada majlis itu, seramai 259 peneroka menerima surat hak milik tanah.

Sementara itu, Dr Sahruddin turut mengumumkan keputusan kerajaan negeri meluluskan 2,276 permohonan tapak rumah bagi generasi kedua Felda bagi seluruh daerah Kota Tinggi.

Kelulusan terbabit membabitkan tanah seluas 4,000 kaki persegi di Felda Aping Barat, Felda Tenggaroh Selatan, Felda Lok Heng, Felda Bukit Waha, Felda Bukit Easter, Felda Sungai Mas dan juga Felda Simpang Waha.

Selain itu, beliau berkata, Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (Bakaj) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan menambah beberapa telaga tiub bagi mengatasi masalah air yang berlaku di kawasan berkenaan.

“Sebelum ini, sebanyak empat telaga tiub dengan kos RM5 juta sudah dibangunkan di sini untuk menambah kapasiti air di loji rawatan air (LRA) Lok Heng.

“Memandangkan empat pun tidak mampu menampung keperluan penduduk, kerajaan negeri akan berbincang dengan Bakaj dan UPEN untuk menambah telaga tiub terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 11:45 AM