Omar Ahmad


Kota Tinggi: Selepas lapan tahun terjejas bekalan air bersih setiap kali musim perayaan, Aidilfitri kali ini bakal memberi sinar buat kira-kira 20,400 pengguna air di Felda Lok Heng dan Felda Waha di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Fadzli Mohd Salleh berkata, Ranhill SAJ menyediakan pelan mitigasi bagi 4,800 akaun di dua felda yang sebelum ini kerap terjejas bekalan air bersih ketika waktu perayaan.

Katanya Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng yang baru dijadualkan siap pada bulan Jun tetapi akan beroperasi sementara bagi memenuhi keperluan air penduduk di kawasan ini.

"Kawasan Felda Lok Heng dan Felda Waha di Kota Tinggi dan Labis dekat Segamat antara kawasan 'panas' yang sering kita terima aduan ketiadaan air semasa musim perayaan.

"Untuk kawasan Labis dekat Segamat LRA Air Panas C yang akan siap sepenuhnya pada Ogos juga akan digunakan sementara pada Hari Rayaa inibbagi menampung keperluan air penduduk.

"Sebenarnya sepanjang tahun kita tidak menghadapi masalah bekalan air, namun apabila musim perayaan penggunaan di sesuatu kawasan meningkat beberapa kali ganda dalam tempoh masa tertentu terutama di kawasan kampung dan pedalaman.

"Situasi itu menyebabkan bekalan dan tekanan air tidak mencukupi terutama bagi kawasan berbukit dan hujung sistem bekalan seperti di Felda Lok Heng dan Felda Waha ini," katanya ketika meninjau persiapan bekalan air sempena Hari Raya Aidilfitri di LRA Lok Heng di sini, hari ini.

Mohamad Fazli bersama Norliza ketika melawat Loji Rawatan Air Lok Heng, Kota Tinggi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamad Fazli bersama Norliza ketika melawat Loji Rawatan Air Lok Heng, Kota Tinggi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Jelas Mohd Fadzli, pihak Ranhill SAJ juga menyediakan genset untuk persediaan menghadapi gangguan elektrik.

"Kita harapkan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku, persiapan bekalan dan tekanan mencukupi. Kita berharap tiada perkara berlaku di luar jangka seperti paip pecah.

"Sekiranya terjadi, penghantaran air statik akan digunakan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fadzli memberi jaminan bekalan air dan elektrik tidak terganggu terutama di Kota Tinggi dan Segamat, menjelang hari raya.

Katanya selain dua LRA iaitu LRA Lok Heng dan LRA Air Panas C, LRA Layang 2 di Johor Bahru juga akan memastikan bekalan air kepada 256,000 pengguna berjalan lancar.

"Ranhill SAJ bersiap sedia dengan 28 buah lori tangki bergerak di Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Pontian.

"Sebanyak 275 buah tangki statik ditempatkan di lokaliti terpilih seluruh negeri Johor, 19 buah tangki statik mudah alih bersedia digerakkan serta 11 buah generator disewa bagi tenaga sokongan kepada LRA utama yang berisiko terputus bekalan elektrik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 12:14 AM