GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Kira-kira 200 peneroka Felda di Kota Tinggi hilang pendapatan berikutan kebun kelapa sawit diusahakan mereka dimusnahkan gajah, sejak 10 tahun lalu.

Lebih mengecewakan, peneroka terbabit yang mengusahakan tanaman kelapa sawit di Felda Air Tawar 2 dan 3, Bukit Waha, Simpang Waha, Pasak serta Lok Heng, tidak dapat menikmati hasil usaha walaupun harga sawit kini berada paras tertinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Lama, Rosleli Jahari berkata, isu gajah memusnahkan tanaman sawit peneroka Felda selain merosakkan hasil tanaman malah sudah meragut lima nyawa penduduk termasuk terbaharu insiden di Kluang, bulan lalu.

"Saya membawa keluhan dan rintihan hati rakyat Kota Tinggi yang sudah tidak dapat bertahan dengan ancaman gajah yang memusnahkan ratusan hektar sekali gus sumber pendapatan mereka hilang.

"Jika peneroka lain mampu dapat pendapatan sehingga RM10,000 sebulan berikutan harga sawit yang tinggi, namun kira-kira 200 peneroka di beberapa kawasan di Kota Tinggi hilang pendapatan berikutan tanaman mereka musnah akibat gajah malah kini terpaksa berhutang pula.

"Saya bangkitkan isu ini supaya pihak berkaitan termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil serius isu gajah ini kerana jika tiada tindakan bersungguh-sungguh, penduduk akan terus menderita dan teraniaya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perbahasan Belanjawan Johor 2022 di pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang ke-14 di sini, hari ini.

Pada 19 Oktober lalu, media melaporkan penduduk di Taman Bandar Tiram di Ulu Tiram, Johor Bahru, dikejutkan dengan kemunculan dua ekor gajah, yang semakin hampir memasuki pusat bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak dilaporkan berkata, pihaknya mengesahkan video tular berdurasi lima saat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman penduduk yang memaparkan beberapa ekor gajah dewasa berlari di hadapan rumah penduduk di taman perumahan berkenaan.

Sementara itu, Rosleili berkata, insiden gangguan gajah semakin menjadi-jadi selepas Empangan Seluyut siap dibina pada 2016 bagi menyalurkan bekalan air bersih.

Katanya, insiden kawanan gajah keluar mencari makan dengan memusnahkan tanaman dan harta benda penduduk juga semakin banyak terjadi kebelakangan ini.

"Pembinaan Pusat Santuari Gajah di Kota Tinggi yang akan dibina dan siap pada 2025 nanti pada mulanya melegakan penduduk.

"Namun selepas dimaklumkan ia bukan kawasan habitat atau perlindungan namun lebih kepada pusat rawatan gajah menyebabkan penduduk bimbang isu gajah yang mengancam penduduk akan berterusan," katanya.

Beliau berkata, satu usaha bersepadu perlu dilakukan pelbagai agensi terutama Perhilitan bagi menyelesaikan isu gajah sejak sekian lama tidak mampu diselesaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 4:10 PM