Abd Rahim (tengah ) menyaksikan Zakaria (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Mohd Yusri. FOTO BBXpress
Abd Rahim (tengah ) menyaksikan Zakaria (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Mohd Yusri. FOTO BBXpress
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


ELAUN sewa rumah yang tidak setimpal serta perlu tinggal jauh dari kawasan bertugas antara tekanan yang dikenal pasti dihadapi anggota bawahan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, sebahagian besar anggota bawahan yang bertugas di kawasan bandar seperti di Selangor dan Kuala Lumpur menghadapi tekanan itu disebabkan ketidakmampuan untuk menyewa rumah kerana elaun perumahan yang diterima sangat rendah.

Katanya, anggota yang tidak memperoleh kuarters akan menghadapi tekanan itu disebabkan perlu mencari rumah sewa yang jauh dari kawasan bertugas selain perlu bertugas dalam tempoh masa tidak menentu dan panjang.

“Berdasarkan pengalaman saya pernah bertugas di bandar besar, anggota bawahan ini terima gaji yang kecil dan perlu berdepan kos sara hidup tinggi di bandar.

“Walaupun mereka diberikan ‘off’ tetapi kadang kala dipanggil bertugas, itu lumrah menjadi anggota PDRM. “Faktor ini menyebabkan mereka tertekan hingga terbabit dengan aktiviti tidak sihat seperti rasuah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Pahang antara Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad dan Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan hari ini.

Mohd Zakaria ditukar dan dinaikkan pangkat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sementara Mohd Yusri akan memangku tugas Ketua Polis Pahang hingga pengganti untuk mengisi kekosongan jawatan itu diumumkan kelak.

Sementara itu, Abd Rahim berkata, pucuk pimpinan PDRM menyedari permasalahan yang dihadapi anggotanya dan Jabatan Pengurusan Bukit Aman sudah menjalankan kajian mengenai gaji dan elaun yang diterima 82,000 anggota Sarjan dan ke bawah kini untuk dinaikkan.

“Kajian ini akan disiapkan dalam masa terdekat, mungkin dalam sebulan atau dua bulan. Kemudian kita kemukakan kepada pucuk pimpinan PDRM untuk dibawa kepada kerajaan.

“Kita faham kerajaan juga menghadapi kekangan kewangan, tapi ini hak anggota terbabit. Saya yakin kerajaan akan ambil berat perkara ini,” katanya.

Mengulas mengenai kuarters PDRM yang dilaporkan berkeadaan uzur, Abd Rahim berkata, hampir semua kuarters polis di negara ini berada dalam keadaan daif dan perlu dinaik taraf.

Katanya, lawatan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador baru-baru ini ke beberapa kuarters PDRM di seluruh negara mendapati ada kawasan memerlukan penambahbaikan yang besar.

“Jika kuarters dalam keadaan uzur dan selalu mendatangkan masalah kepada penghuninya ia juga memberi tekanan kepada anggota yang menetap di kawasan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 12:13 PM