FAHMI (tengah) diiringi Abdul Hamid dan Nurazrin menyampaikan bantuan kepada pesakit kronik warga PDRM. - FOTO Norizuan Shamsuddin
FAHMI (tengah) diiringi Abdul Hamid dan Nurazrin menyampaikan bantuan kepada pesakit kronik warga PDRM. - FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin


AHLI Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil memperuntukkan RM200,000 untuk membaik pulih tiga balai dan kuarters polis yang uzur di sekitar kawasan parlimen berkenaan.

Peruntukan itu membabitkan Balai Polis Travers, Balai Polis Pantai, Balai Polis Petaling dan kuarters polis Desa Aman.

Menurut Fahmi, peruntukan itu sudah diluluskan dan pihaknya kini dalam proses melaksanakan kerja membaik pulih yang diperlukan.

Katanya, setiap balai dan kuarters terbabit menerima peruntukan RM50,000 untuk proses membaik pulih.

“Proses gerak kerja sedang dijalankan dan kita akan minta setiap ketua balai polis terbabit untuk menyenaraikan perkara yang perlu dibaiki.

“Saya juga sudah menghantar pegawai ke lapangan untuk berbincang dengan ketua balai polis untuk melihat apa yang mereka perlukan.

“Kita beri peluang sendiri kepada mereka untuk lihat mana yang perlu dibaiki dan kita akan bantu.

“Proses baik pulih balai dan kuarters terbabit dijangka dimulakan tidak lama lagi,” katanya pada sidang media sempena Majlis Iftar Mycommunity@care di Masjid Bukit Aman Kuala Lumpur, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan isteri, Datin Seri Nurazrin Marzuki yang juga Pengerusi Persatuan Ahli Keluarga Polis (PERKEP).

Pada majlis itu, Fahmi turut menyampaikan sumbangan hamper dan wang tunai kepada 50 pesakit kronik dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk PERKEP.

Abdul Hamid turut berterima kasih di atas keperihatinan ahli parlimen dan kerajaan terhadap warga PDRM khususnya di kawasan Parlimen Lembah Pantai

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 10:05 PM