Alor Setar: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahu kerajaan mempertimbangkan permohonan untuk memberi elaun kesusahan kepada pegawai dan anggota polis yang bertugas di pedalaman selain melakukan semakan elaun tetap perumahan di bandar besar berikutan peningkatan kos sara hidup.

Difahamkan, guru-guru dan kakitangan Kementerian Kesihatan yang bertugas di kawasan pedalaman menerima elaun kesusahan berjumlah RM1,500 setiap bulan berbanding elaun pedalaman yang diterima anggota polis iaitu 10 peratus daripada gaji bulanan mereka.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, bayaran elaun yang diterima kira-kira 2,000 anggota polis terbabit dilihat tidak sesuai dengan tanggungjawab mereka ketika bertugas jika dibandingkan dengan kesusahan yang dialami di kawasan pedalaman berkenaan.

Menurutnya, elaun yang diterima anggota polis agak rendah jika dibandingkan dengan elaun kesusahan RM1,500 sebulan bagi kakitangan Kementerian Kesihatan dan guru-guru sedangkan kesulitan yang dialami mereka tetap sama termasuk masalah kekurangan kemudahan asas.

“Kita (PDRM) memohon kerajaan melihat semula pemberian elaun (kesusahan) ini kerana anggota polis hanya menerima (elaun pedalaman) iaitu 10 peratus daripada jumlah gaji bulanan mereka, sekali gus diselaraskan dengan elaun (RM1,500) yang diterima guru dan kakitangan kesihatan yang bertugas di pedalaman.

“Ini kerana kita mengetahui kawasan pedalaman sama ada di Semenanjung Malaysia mahupun Sabah dan Sarawak kurang dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air sehingga terpaksa membeli air mineral selain tiada juga sekolah menengah di kawasan itu.

“Anggota polis yang bertugas di pedalaman terpaksa meninggalkan keluarga di luar disebabkan anak-anak perlu ke sekolah. Justeru, kita berharap kerajaan dapat melihat permasalahan ini dan pemberian elaun khas itu secara tidak langsung diharap dapat mengimbangi kos sara hidup masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Agung Pusat Persatuan (PPKP/CPW, PPKP/CI dan PPRPD), di sini, semalam.

Menurutnya, selain itu pihaknya juga memohon kerajaan untuk meningkatkan bayaran imbuhan tetap perumahan PDRM kepada bayaran kadar sewa rumah mengikut pasaran semasa di kawasan anggota polis bertugas terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kuantan.

Katanya, pihaknya tidak menafikan kerajaan sudah menyediakan kemudahan kuarters perumahan untuk anggota polis, namun jumlah berkenaan masih tidak mencukupi berikutan masih ada yang terpaksa menyewa di luar.

“Bayaran sewa rumah di bandar-bandar besar ini terlalu tinggi jika dibandingkan dengan elaun tetap perumahan yang diterima anggota polis, sekali gus menyebabkan mereka turut terbeban dengan kos sara hidup lebih tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 7:34 AM