JEMAAH berdoa selepas menunaikan solat hajat yang diimamkan oleh Mohd Nor Hamzah di atas  Jambatan Angkat menjelang pembukaannya. FOTO Ghazali Kori
JEMAAH berdoa selepas menunaikan solat hajat yang diimamkan oleh Mohd Nor Hamzah di atas Jambatan Angkat menjelang pembukaannya. FOTO Ghazali Kori
Zaid Salim

KIRA-KIRA 50 orang menunaikan solat hajat memohon kelancaran operasi jambatan angkat (drawbridge) di Kuala Terengganu, malam tadi sebelum ia dibuka untuk tempoh percubaan 7 pagi, hari ini.

Solat hajat bertempat di menara mercu tanda ikonik baharu Terengganu itu diimamkan Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.

Turut menyertai solat hajat itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deramandan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Ariffin berkata, kerajaan negeri yakin jambatan sepanjang 683 meter dan terpanjang di dunia itu dapat membantu melonjakkan lagi industri pelancongan Terengganu sekali gus mencapai sasaran kemasukan lima juta pelancongke negeri ini tahun ini.

Katanya, proses pembinaan jambatan itu sudah siap sepenuhnya dan dijangka akan memulakan operasi penuh pada September tahun ini.

“Selepas komponen pembangunan jambatan angkat itu selesai kerajaan negeri turut merancang untuk mengindahkan kawasan di sekitar mercu tanda baharu ikonik itu,” katanya pada sidang media yang diadakan di jambatan berkenaan.

Berhubung nama yang bakal diberikan kepada mercu tanda baharu itu, beliau berkata, ia terpulang kepada pihak istana.

“Kerajaan negeri sudah mencadangkan beberapa nama dan sudah dipersembahkan kepada Tuanku (Sultan Mizan Zainal Abidin) untuk membuat keputusan,” katanya.

Jambatan angkat itu akan dibuka untuk percubaan dalam tempoh dua minggu mulai 7 pagi ini hingga 17 Jun depan bagi kerja-kerja pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem ‘signalling’ di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya di samping koordinasi sistem penyuraian trafik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 1:29 AM