Gambar hiasan
Gambar hiasan
Idris Musa

PENGGUNA kenderaan kelas satu Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Shah Alam (LSA) bakal menikmati diskaun tol 30 dan 10 peratus sempena Aidilfitri ini.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Aziz Abdullah berkata, diskaun 70 sen di LDP dan 20 sen di LSA itu bermula dari 12 tengah malam 4 Jun hingga 11.59 malam 5 Jun iaitu pada 1 Syawal.

“Dianggarkan hampir 500,000 pengguna LDP dan LSA akan menerima manfaat daripada sejumlah RM256,000 subsidi tol diberikan itu,” katanya.

Terdahulu beliau hadir pada Majlis Jalinan Mesra dan Iftar Ramadan LITRAK dan SPRINT 2019 di Kompleks Operasi LITRAK di Petaling Jaya, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LITRAK Sazally Saidi berkata, sejak 2010 hingga 2018, LITRAK memberikan hampir RM14.3 juta subsidi tol kepada jutaan pengguna lebuh raya ketika perayaan.

“Kami faham akan keperluan untuk melawat saudara dan rakan pada waktu ini.

“Kami berharap menerusi langkah kali ini, kita dapat bersama-sama dengan pengguna lebuh raya untuk berkongsi kegembiraan menyambut dan menyemarakkan Syawal,” katanya.

Pada majlis itu seramai 50 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad, Kota Damansara diraikan dan diberikan sumbangan duit raya.

LITRAK turut memberikan sumbangan Pek Dapur Syawal mengandungi barangan dapur dan keperluan menyambut raya kepada 30 keluarga dari Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di sekitar jajaran LDP.

Selain itu, LITRAK melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya khusus bagi penunggang motosikal sekali gus membantu mencegah kemalangan membabitkan golongan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 8:34 PM