NORHAYATI Kamarudin, 38 tidak dapat menahan sebak apabila melihat baju yang dipakai oleh arwah anaknya, Muhammad Izzul Al Waiz Suhairy, 8 ketika ketika temui di rumahnya, Jengka 18. FOTO Roselan Ab Malek
NORHAYATI Kamarudin, 38 tidak dapat menahan sebak apabila melihat baju yang dipakai oleh arwah anaknya, Muhammad Izzul Al Waiz Suhairy, 8 ketika ketika temui di rumahnya, Jengka 18. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


KETIKA umat Islam bakal menyambut dan meraikan kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi, keterujaan itu tidak terasa buat pasangan Suhairy Samsudin, 43, dan Norhayati Kamarudin, 38, apabila anak mereka maut dalam kemalangan jalan raya, 17 Mei lalu.

Norhayati berkata, sambutan hari raya pada kali ini menjadi suram dan tidak semeriah tahun sebelumnya selepas Muhammad Izzul Al Waiz, 8, yang juga anak kelima daripada enam beradik pergi meninggalkan mereka.

Katanya, dia dan suami sudah membuat sedikit persediaan menanti ketibaan 1 Syawal dengan membelikan arwah kopiah serta baju baru, namun semua itu hanya boleh ditatap sahaja.

“Arwah suka pakai kopiah jadi kami belikan dia kopiah. Kami cukup sedih kerana pakaian sedondon yang ditempah tidak dapat dipakai bersama pada hari raya nanti.

“Baju warna coklat itu akan saya simpan sebagai kenangan kami sekeluarga.

NORHAYATI Kamarudin, 38 menunjukkan gambar arwah anaknya, Muhammad Izzul Al Waiz Suhairy, 8, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 33 Jalan Temerloh- Bandar Tun Abdul Razak, Jengka. FOTO Roselan Ab Malek
NORHAYATI Kamarudin, 38 menunjukkan gambar arwah anaknya, Muhammad Izzul Al Waiz Suhairy, 8, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 33 Jalan Temerloh- Bandar Tun Abdul Razak, Jengka. FOTO Roselan Ab Malek

Memang sedih buat pertama kali sambutan Aidilfitri tanpa dia dan selalunya ketika raya dia suka makan lemang, biskut coklat dan biskut nestum,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jengka 18, di Maran, semalam.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, Muhammad Izzul Al Waiz dikatakan membonceng motosikal ditunggangi bapanya untuk ke sekolah sebelum dirempuh dari arah belakang oleh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 33 Jalan Temerloh-Bandar Tun Abdul Razak, Jengka 18, di sini.

Akibat rempuhan itu mangsa maut di lokasi kejadian kerana kecederaan di kepala sementara bapanya parah.

Sementara itu, Norhayati memaklumkan suaminya yang juga pemandu lori kini tidak bekerja kerana mengalami patah bahu serta perlu berehat panjang.

Beliau yang kini sedang sarat mengandung dijangka bersalin pada hari raya ketiga nanti.

Katanya, semua ujian itu menjadikan sambutan Aidilfitri keluarganya suram tidak seperti keluarga lain pada kali ini.

“Saya reda dengan kehilangan ini. Saya perlu tabah kerana sedang sarat mengandung,” katanya sambil menitiskan air mata mengenangkan ujian menimpa keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 11:10 AM