Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penuntut institusi pengajian tinggi bakal mendapat akses kepada maklumat serta kajian sedia ada di peringkat kementerian dan agensi kerajaan dalam tempoh dua minggu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, ia sebagai usaha memperkasa kecerdasan buatan (AI) di negara dengan akses itu diberikan melalui perkomputeran awan yang akan diselaras Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

"Bagi kita dua minggu semua universiti akan terima, siapa yang akan koordinasi ialah Chang Lih Kang(Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).

"Saya bagi masa dua minggu siap untuk semua badan penyelidikan dan beberapa kementerian terbabit, akan disampaikan kepada semua universiti," katanya pada Sesi Temu Anwar sempena program Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024 (MY AI NEXUS 2024) di Pusat Dagangan Putra (WTC) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan yang dikemukakan wakil penuntut berkenaan kesediaan negara untuk mempersiapkan kemudahan komputer berprestasi tinggi yang boleh diakses secara berpusat mahupun dalam talian.

Pada sesi sama, Anwar turut ditanya sekiranya kerajaan akan memberikan insentif kepada mahasiswa yang melanjutkan pelajaran dalam bidang AI.

"Untuk pelajar yang ambil bidang AI ini, kita sediakan kemudahan dan latihan terbaik. Elaun sedia ada dikekalkan dan melihat kepada prestasi semasa mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ekosistem AI di negara ini perlu dibina dan diperkukuh dengan semua pihak perlu mempersiapkan diri untuk menerima perubahan berasaskan kepada keperluan mendesak terhadap teknologi itu.

Menurutnya lagi, untuk mempersiapkan negara ke arah itu, perlu rangka tindakan segera yang turut membabitkan sistem pendidikan negara.

"Kita yang harus mengisi anak-anak yang belajar AI, tenaga pengajar dan profesor dan kepakaran dalam membina ekosistem ini, harus meletakkan keupayaan melatih supaya ada pengkhususan peringkat yang tinggi.

"Namun harus juga mengingatkan mereka supaya punya kekuatan nilai dalam pertahankan identiti kita," katanya.

Beliau turut menekankan tiga teras dalam ekosistem AI negara iaitu Governance AI untuk memastikan ekosistem inovasi AI yang sistematik, Pemangkin AI melalui Malaysia Konsortium Kecerdasan Buatan untuk mewujudkan pelarasan dalam bidang pendidikan, pembangunan dan aplikasi AI.

Mengenai kebimbangan terhadap pengaplikasian AI dalam kehidupan seharian, Anwar berkata, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memberi pendidikan dengan menanam nilai dalam diri individu masing-masing.

Terdahulu, Perdana Menteri menyempurnakan peluncuran Fakulti Kecerdasan Buatan (Faculty of Artificial Intelligence FAI) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang juga fakulti pertama dengan pengkhususan itu di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 4:01 PM
ANWAR (tengah) bersama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir (kiri), dan moderator Hawa Rizwana Ahmad Redzuan pada Sesi Temu Anwar. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
ANWAR (tengah) bersama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir (kiri), dan moderator Hawa Rizwana Ahmad Redzuan pada Sesi Temu Anwar. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.