Poliana Ronnie Sidom


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menempatkan 798 petugas di 19 pusat mengundi bagi memastikan kelancaran proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, esok.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, tambahan satu pegawai di saluran satu dan dua iaitu saluran khusus bagi warga tua dan Orang Kelainan Upaya (OKU) penting bagi memastikan kelancaran proses itu.

Katanya, pihaknya juga menjangkakan keputusan rasmi bagi PRK Parlimen Sandakan esok boleh diketahui selewat-lewatnya 10 malam, berdasarkan PRK sebelum ini yang mana keputusan rasmi boleh diperolehi lebih awal.

“Setakat ini, persiapan berjalan lancar dan pada peringkat ini, kita sudah mengumpul barang perlu untuk diagihkan kepada pengundi.

“Kita berharap pengundi datang awal dengan masa mengundi dibuka bermula 7.30 pagi, lebih awal berbanding PRK lain kerana musim puasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau proses semakan isi peti undi dan agihan peralatan kepada ketua tempat mengundi di dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua di Sandakan hari ini.

Seramai 39,684 pengundi bakal mengundi dalam PRK itu esok yang diadakan susulan kematian penyandangnya, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt 28 Mac lalu.

Dr Azmi berkata, penambahan dua pusat mengundi dan 17 saluran menjadikan jumlah keseluruhan 19 pusat mengundi dan 90 saluran juga akan menambah baik kelancaran proses mengundi esok.

Ditanya mengenai perjalanan kempen sejak penamaan calon, Dr Azmi berkata, ia berjalan lancar dan paling kurang masalah berbanding beberapa PRK di Semenanjung.

“Saya rasa di sini kurang bermasalah berbanding Semenanjung, ini satu kebaikan orang Sabah.

“Memang ada aduan dan sebagainya, tetapi ini bukanlah sesuatu yang luar biasa dan amat sedikit berbanding PRK sebelum ini.

“Secara amnya, semua (calon dan penyokong) berkelakuan baik dan ia satu yang patut dicontohi,” katanya.

Dr Azmi turut mengingatkan kepada semua calon mengenai tempoh rasmi berkempen yang akan tamat 11.59 malam ini dan menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen selepas tempoh itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 12:36 PM
Dr Azmi (dua dari kiri) meninjau proses semakan isi peti undi dan agihan peralatan di SMJK Tiong Hua. FOTO Khairull Azry Bidin
Dr Azmi (dua dari kiri) meninjau proses semakan isi peti undi dan agihan peralatan di SMJK Tiong Hua. FOTO Khairull Azry Bidin