Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.040 Kemaman, di Pusat Penjumlahan Undi PRK P.040 Kemaman, Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman hari ini. FOTO BERNAMA
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.040 Kemaman, di Pusat Penjumlahan Undi PRK P.040 Kemaman, Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Terengganu: Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian bagi memudahkan semakan nama serta membantu kelancaran proses pengundian yang bakal berlangsung esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata pengundi perlu menunjukan dokumen terbabit kepada kerani pengundian pertama (KP1) di tempat mengundi masing-masing.

Beliau berkata sebelum itu pengundi boleh membuat semakan awal maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui portal https://mysprsemak.spr.gov.my atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018/7218/7124.

"Selain itu pengundi juga boleh menyemak maklumat itu melalui aplikasi MySPR Semak.

"Pengundi diingatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain petugas pilihan raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu Ikmalrudin berkata penggunaan telefon bimbit di saluran juga adalah dilarang dan pengundi yang membawa peralatan berkenaan perlu menyimpannya di tempat yang disediakan SPR.

Larangan lain termasuk memakai baju, topi, pelitup muka atau sebarang material yang mempunyai nama, lambang, simbol atau gambar parti serta calon yang bertanding.

"Kegagalan pengundi mematuhi peraturan atau undang-undang yang ditetapkan boleh menyebabkan mereka dilarang daripada memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya.

"Ia memandangkan tempoh rasmi berkempen tamat pada 11.59 minit malam ini (Jumaat). Selepas tempoh itu semua pihak perlu menghentikan aktiviti berkempen termasuk merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan di saluran laman sosial," katanya.

Dalam pada itu menurut Ikmalrudin seramai 2,102 petugas SPR akan bertugas di 49 pusat mengundi di Kemaman esok.

Beliau berkata semua proses semakan peralatan mengundi termasuk peti undi dan dakwat pilihan raya telah selesai dan diagihkan kepada Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap Tempat Mengundi (saluran).

Katanya pusat mengundi akan dibuka bermula 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu pusat mengundi diwartakan.

"Seramai 141,043 pengundi layak mengundi untuk PRK Kemaman dan sebanyak 244 saluran akan dibuka di 49 lokasi pusat mengundi esok.

"SPR menasihatkan orang pengundi supaya tidak menunggu saat-saat akhir untuk keluar mengundi. Majikan pula diingatkan supaya memberikan tempoh munasabah untuk pekerja keluar mengundi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 7:21 PM