Poliana Ronnie Sidom dan Mohd Izham Unnip Abdullah


DAP mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan dengan majoriti 11,521 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan berkenaan, hari ini.

Calonnya, Vivian Wong Shir Yee memperoleh 16,012 undimengatasi pencabar terdekatnya, Datuk Linda Tsen Thau Lin mewakili Parti Bersatu Sabah (PBS) yang mendapat 4,491 undi.

Tiga calon Bebas iaitu Hamzah Abdullah, Chia Siew Yung dan Sulaiman Abdul Samat, masing-masing mendapat 788 undi, 178 undi dan 126 undi, sekali gus menyaksikan ketiga-tiganya hilang wang pertaruhan.

Pengumuman rasmi keputusan PRK berkenaan dibuat Pegawai Pengurus PRK Parlimen Sandakan, Mohd Hamsan Awang Supain di pusat penjumlahan undi di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua, Sandakan, pada 9 malam ini.

Majlis pengumuman itu turut dihadiri Vivian dan beberapa pemimpin negeri serta Pusat termasuk Pengerusi DAP, Lim Kit Siang, manakala tiada calon pembangkang dan Bebas kelihatan.

PRK Parlimen Sandakan diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Pengerusi DAP Sabah, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

MOHD Hamsan (kiri) mengumumkan Vivian memenangi PRK Parlimen Sandakan di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Aktiviti SMJK Tiong Hua, Sandakan, malam ini. FOTO KHAIRULL AZRY BIDIN.
MOHD Hamsan (kiri) mengumumkan Vivian memenangi PRK Parlimen Sandakan di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Aktiviti SMJK Tiong Hua, Sandakan, malam ini. FOTO KHAIRULL AZRY BIDIN.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu, Stephen mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan dengan majoriti 10,098 undi menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ming Hoo yang memperoleh 8,996 undi.

Sementara itu, peratusan turun mengundi PRK Parlimen Sandakan menunjukkan penurunan dengan hanya 54.4 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab berbanding 72.1 peratus pada PRU-14.

Penamaan calon PRK Parlimen Sandakan diadakan pada 27 April lalu, disusuli proses pengundian awal membabitkan 270 pengundi pada 7 Mei dan pengundian membabitkan 39,684 pengundi berdaftar pada hari ini.

Bandar Sandakan menjadi tumpuan pemimpin Pusat dan negeri termasuk pembangkang sepanjang 14 hari tempoh berkempen bagi PRK berkenaan untuk membantu calon bertanding.

Selain pemimpin DAP, turut turun membantu kempen Vivian ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Di pihak pembangkang, kempen calon PBS turut dibantu parti pembangkang lain termasuk UMNO dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan antara yang datang.

Ia adalah PRK kelapan selepas PRU-14 pada 9 Mei tahun lalu dengan PRK pertama di Sungai Kandis pada 4 Ogos tahun lalu, diikuti PRK Balakong dan Seri Setia (8 September), Port Dickson (13 Oktober), Cameron Highlands (26 Januari), Semenyih (2 Mac) dan Rantau pada 13 April lalu.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Sandakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 9:50 PM