KARTHIKGESAN bersama bapanya. (Gambar kanan)  Pasu Enviro-Pot. FOTO ihsan pembaca
KARTHIKGESAN bersama bapanya. (Gambar kanan) Pasu Enviro-Pot. FOTO ihsan pembaca
Rosman Shamsudin


PELAJAR Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Baru, merangkul Anugerah Emas di Pameran dan Pertandingan Inovasi, Kreativiti serta Teknologi Kali Ke-30 (ITEX’19) peringkat antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

S Karthikgesan, 13, yang berasal dari Bandar Behrang 2020, berjaya mencipta pasu organik atau dikenali ‘Enviro-Pot’ dan ciptaannya menambat hati juri dalam kategori Pertandingan Inovasi Pencipta Muda Antarabangsa (WYiE) .

Inovasi dan reka cipta pasu berkenaan menggunakan bahan campuran najis lembu sebanyak 90 peratus dan baki 10 peratus lagi menggunakan sabut kelapa serta daun serai.

Bapa pelajar terbabit, Dr S Shantarasekaran, 43, guru sains di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Behrang 2020 bertindak sebagai mentor dan sumber inspirasi sehingga meraih kejayaan itu.

Karthikgesan berkata, kejayaan merangkul Anugerah Perak dalam Festival Ciptaan Antarabangsa dan Inovasi Teknologi Hijau 2019 (i-Finog) di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang, Pahang sebelum ini mencetus semangat dan idea baru untuk menambahbaik Enviro-Pot.

“Idea mencipta Enviro-Pot timbul apabila pulang ke kampung di Teluk Intan dan melihat banyak najis lembu bertaburan di jalan.

“Pasu organik ini mudah dihasilkan iaitu peringkat awal najis digaul bersama sabut kelapa untuk kuatkan struktur serta dicampur daun serai bagi hilangkan bau sebelum dimasukkan ke dalam acuan dan dijemur di bawah cahaya matahari,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, penggunaan pasu itu dapat memelihara dan memulihara alam sekitar daripada tercemar kerana penggunaan beg plastik yang sukar dilupuskan bakal mengundang pencemaran alam.

“Penggunaan pasu ini juga lebih ekonomik dan menjimatkan kerana mempunyai dwifungsi iaitu bertindak sebagai bekas menanam pokok serta sebagai baja pokok selain boleh bertahan selama sembilan bulan.

“Kos menghasilkan pasu organik juga murah dan bahan untuk menghasilkannya mudah didapati di mana-mana saja daripada dibiar begitu lebih baik kita memanfaatkannya dengan efisyen,” katanya.

Karthikgesan berkata, kejayaan itu akan terus membakar semangatnya dan memberi suntikan motivasi untuk menyertai pertandingan lain dengan menambahbaik lagi hasil inovasi serta reka ciptanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 6:38 PM