SHAHMEER (kiri) dan Shaheer menunjukkan surat jemputan daripada stesen televisyen. FOTO ihsan pembaca
SHAHMEER (kiri) dan Shaheer menunjukkan surat jemputan daripada stesen televisyen. FOTO ihsan pembaca
Rosman Shamsudin


DUA beradik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Behrang 2020 menjadi terkenal sekelip mata selepas berita mereka menerima Anugerah Pencipta Antarabangsa (WIA) di Seoul, Korea Selatan disiarkan media, bulan lalu.

Kejayaan Shahmeer Pandurar, 13, dan Shaheer, 11, turut mendapat perhatian dan menerima ucapan tahniah daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Facebook rasmi KPM.

Mereka berdua sebenarnya tidak menyangka terpilih menerima anugerah sempena Festival Anugerah Pencipta Antarabangsa (WIAF) itu kerana tidak dapat menghadiri pertandingan disebabkan kekangan kewangan untuk ke Korea Selatan.

Kejayaan itu hasil usaha guru sains, Dr S Santharasekaran yang membawa ciptaan dan inovasi dua beradik itu ke Korea Selatan sehingga menambat hati juri.

Shahmeer berkata, sejak tersiar berita kemenangan itu, ramai yang ingin menjadi rakan Facebook (FB) mereka.

Menurutnya, mereka berdua turut menerima jemputan daripada stesen televisyen untuk berkongsi suka duka ketika peringkat awal mahu menghasilkan basikal pengecas.

“Pada mulanya idea menghasilkan basikal pengecas atau dikenali Enviro Cycle Charger yang boleh menghasilkan tenaga elektrik melalui kayuhan dipandang sinis oleh rakan sekolah.

“Namun kami nekad dengan bantuan guru sains yang memberi tunjuk ajar dan motivasi,” katanya ketika dihubungi, dekat sini.

Shahmeer kini pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Proton City, Tanjung Malim dan Shaheer pula berada di Tahun Lima di SK Bandar Behrang 2020.

Basikal pengecas itu mampu menghasilkan tenaga elektrik selepas kayuhan dan tenaga itu boleh digunakan untuk mengecas barangan elektrik.

Sementara itu, Shaheer berkata, walaupun banyak menerima ucapan tahniah, mereka tidak akan lupa tanggungjawab mereka sebagai pelajar.

“Bila dikenali, ramai pula rakan baru yang memberi idea meningkatkan lagi fungsi basikal itu kerana sebelum ini kadangkala kami berdua buntu untuk menghasilkan reka cipta dan inovasi terbaik.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada mereka dan kami akan jadikan panduan untuk menambah fungsi reka cipta serta inovasi ini,” katanya.

Berita berkaitan

Basikal RM7 je, memang power dik...

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 1:21 PM