INOVASI pam angin dan bebola pemadam api (kanan) yand dihasilkan S Santharasekaran bersama anaknya ,S Karthikgesan (gambar kecil). FOTO ihsan pembaca
INOVASI pam angin dan bebola pemadam api (kanan) yand dihasilkan S Santharasekaran bersama anaknya ,S Karthikgesan (gambar kecil). FOTO ihsan pembaca
Rosman Shamsudin


REKA cipta dan inovasi pam angin dan alat pemadam api yang dihasilkan dua beranak dekta Behrang ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merangkul pingat emas dan anugerah khas di peringkat antarabangsa.

Kejayaan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Behrang 2020, S Santharasekaran, 44, dan anaknya, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Proton City, S Karthikgesan, 14, diiktiraf dalam pertandingan reka cipta dan inovasi sempena International Innovation & Invention Of Canada ( I-CAN) dari Kanada serta Korea Creative Innovation Contest (CiC) dari Korea Selatan.

Santharasekaran berkata, Anugerah Khas iaitu Anugerah Inovasi Asia atau Asia Innovation Award (AIA) juga diterima sempena CiC.

Katanya, ketika PKP beliau bersama anaknya mereka cipta dua alat terbabit dan penyertaan dihantar melalui pos dan e-mel kepada pihak urusetia pertandingan.

"Pam angin yang dihasilkan memang fleksibel dan mudah dibawa ke mana sahaja untuk digunakan bagi mengepam tayar motosikal , basikal , bola dan sebagainya.

"Untuk menggunakan pam angin ini, pengguna hanya perlu memasukkan bahagian hadapan pam ke dalam ekzos motosikal sambil memulas pedal minyak untuk mengisi angin," katanya ketika dihubungi, dekat Behrang.

Manakala, satu lagi reka cipta yang dihasilkan adalah alat pemadam api seperti bola yang diisi dengan campuran serbuk atau bahan pemadam api.

Bebola itu hanya perlu dicampak ke dalam kawasan pembakaran kecil lalu meletup dan mengeluarkan serbuk atau bahan pemadam api untuk memadamkan api.

Santharasekaran berkata, bebola ini ringan dan mudah disimpan serta boleh digunakan terutama ketika berlaku kecemasan.

"Ketika masa PKP, banyak masa terluang bersama anak di rumah menyebabkan cetus satu idea untuk mereka cipta kedua alat ini bagi mengisi masa daripada terbuang begitu sahaja.

"Saya terkejut apabila menerima e-m-l menyatakan bahawa kedua alat reka cipta dan inovasi itu terpilih dan merangkul Anugerah Emas dan Anugerah Khas," katanya.

Beliau berkata, sepatutnya terdapat Majlis Penganugerahan kepada pemenang namun dibatalkan susulan pandemik Covid-19 dan hadiah dan sijil akan diposkan oleh penganjur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 11:51 AM