SITI Mariam (tengah), Nor Hazimah (dua dari kanan) dan Siti Norsyida bersama pelajar mereka, Nur Iman Nabilah (kiri) dan Nur Ismahani menunjukkan anugerah dan produk KITSMA.
SITI Mariam (tengah), Nor Hazimah (dua dari kanan) dan Siti Norsyida bersama pelajar mereka, Nur Iman Nabilah (kiri) dan Nur Ismahani menunjukkan anugerah dan produk KITSMA.
Oleh Mohamad Hussin


Kemajuan teknologi pertanian membuka peluang lebih luas kepada petani untuk meningkatkan pengeluaran dengan menggunakan mesin atau jentera termasuk bagi penanaman sayur dan pokok.

Ketika tenaga kerja dalam sektor itu makin berkurangan sedangkan tanaman memerlukan ramai pekerja, penggunaan teknologi sangat sesuai.

Bagaimanapun, penggunaan teknologi untuk tanaman di negara ini tidak begitu popular kerana petani lebih suka mengerjakan kebun secara tradisi. Kalau adapun, jentera atau mesin hanya tertumpu pada penyediaan tanah.

Sehubungan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, Kedah, menghasilkan inovasi Kit Semaian Mudah Alih (KITSMA) bagi menggaul dan menapis tanah semaian anak benih.

Guru yang juga ketua projek SMK Jerlun, Siti Mariam Salleh berkata, projek itu membabitkan dua lagi guru iaitu Nor Hazimah Mhd Arshad dan Siti Norsyida Abu Bakar serta dua pelajar tingkatan tiga, Nur Iman Nabilah Nor Azehad dan Nur Ismahani Hamal.

“Projek ini dimulakan pada awal tahun ini dengan menggunakan bahan terpakai seperti ekzos kereta, bateri, kerusi rosak, besi, salur getah dan roda membabitkan kos tidak sampai RM240.

“Ia memudahkan kerana dapat menjimatkan masa. Tak sampai empat minit untuk satu pasu berbanding 40 minit jika dilakukan secara manual.

“Inovasi ini digunakan dengan memasukkan medium semaian iaitu tanah loam, bahan organik dan pasir sungai yang disukat dengan nisbah 2:1:1 ke dalam alat penggaul,” katanya yang ditemui pada pameran Malaysian Agricultural Invention Show 2015 (MAGIS) di Serdang, baru-baru ini.

Siti Mariam berkata, alat itu akan menggaul medium semaian sehingga sekata dan menapisnya ke dalam bekas tadahan.

“Kemudian masukkan medium semaian itu ke dalam bekas semaian dan ia akan memperoleh air secara titisan melalui salur getah dari takungan air,” katanya.

Menurutnya, aktiviti amali penyediaan medium semaian itu dapat dilaksanakan dalam tempoh singkat dan mudah.

“Ia juga menarik minat pelajar mempelajari pendidikan pertanian dengan penggunaan teknologi moden. Ia sangat pratikal dan mudah dibawa ke mana-mana,” katanya.

Inovasi berkenaan pernah memenangi pertandingan inovasi 2015 peringkat Sekolah-Sekolah Daerah Kubang Pasu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 2:02 PM