Antara yang diperiksa dalam Op Samseng Jalanan di Alor Setar malam tadi. FOTO ihsan polis
Antara yang diperiksa dalam Op Samseng Jalanan di Alor Setar malam tadi. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


SEBANYAK 24 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Samseng Jalanan yang diadakan di Alor Setar malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, operasi bermula 12 tengah malam hingga 4 pagi tadi dijalankan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Menurutnya, operasi itu dijalankan di sekitar Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Lebuhraya Darul Aman dan Persiaran Sultan Abdul Hamid.

“Sebanyak 59 buah kenderaan diperiksa membabitkan 51 individu sebelum 24 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

“Kesalahan yang paling kerap dilakukan adalah ubah suai nombor pendaftaran, tiada lesen memandu dan tiada cermin pandang sisi,” katanya.

Mohd Rozi berkata, pihaknya melalui BSPT Kota Setar sentiasa memberi fokus yang menyeluruh ke atas kegiatan samseng jalanan yang menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk berlumba.

“Tiada lagi istilah berlembut kepada mat rempit atau disifatkan sebagai samseng jalanan kerana tindakan itu jelas membahayakan nyawa diri sendiri dan juga orang awam yang lain.

” Usaha penguatkuasaan undang-undang jalan raya akan dijalankan secara berterusan di sekitar Alor Setar bagi membendung gejala ini secara menyeluruh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 12:39 PM