PENAGIH yang ditahan dalam Op Bersepadu. FOTO ihsan polis
PENAGIH yang ditahan dalam Op Bersepadu. FOTO ihsan polis
Safuri Kamarudin


SERAMAI 32 penagih dadah ditahan dalam Op Bersepadu selama lima jam di sekitar Kampung Tiak, Kupang, Baling bermula jam 5 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Shariffuddin Yusof berkata, mereka menjadikan kebun getah sebagai tempat melepaskan gian dan tidak sedar kehadiran anggota penguat kuasa.

Menurutnya, operasi membabitkan 12 anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Baling.

“Mereka yang berusia antara 22 hingga 58 tahun adalah penagih tegar dan sering melakukan kesalahan berulang dan tiada penagih baru ditangkap dalam operasi itu.

“Semua yang ditahan adalah penagih lama malah ada yang pernah ditahan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, selepas menjalani saringan air kencing, hanya 27 positif dadah jenis morfin dan dua daripadanya dilepaskan.

“Ada di antara penagih menghidap penyakit sawan kronik dan lumpuh.

“Punca kerana terlalu lama menagih menyebabkan mudah diserang penyakit kronik,” katanya.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke IPD Baling untuk dokumentasi dan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

“Manakala dua penagih disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

“Polis turut merampas tiga gram heroin, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 9:31 AM