GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Safuri Kamarudin


LELAKI berusia 20 tahun dikenali panggilan Tore yang menjadi buruan polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kerana terbabit dalam kegiatan menagih dan mengedar dadah ditahan ketika sedang berehat di rumahnya, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Shariffuddin Yusof, berkata anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Baling memburu lelaki berkenaan dua minggu lalu, tetapi terlepas sehinggalah dia ditahan AADK pada 11.40 malam.

Beliau berkata, suspek yang berasal dari Kampung Charok Bakong, Dalam Wang bergerak aktif di kampung berkenaan dan kawasan berdekatan.

“Dua minggu lalu anggota masuk ke kampung berkenaan untuk menangkapnya, tetapi dia bernasib baik berjaya melepaskan kerana mahir selok belok jalan keluar di kampung itu.

“Suspek bukan setakat penagih, tetapi dipercayai mengedar secara kecil-kecilan kepada penagih di kawasan kampung, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shariffuddin berkata, suspek ditahan AADK sebelum dihantar ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Gambang, Pahang selama dua tahun untuk rawatan dan pemulihan.

Beliau berkata, setiap aduan orang awam akan sentiasa dipantau dan polis mengambil pendekatan segera untuk membanteras jenayah di daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 9:59 PM