MAYAT lelaki dipercayai penagih dadah ditemui di kawasan semak berhampiran rumahnya di Kampung Ulu Legong, Baling, petang tadi. FOTO ihsan PDRM
MAYAT lelaki dipercayai penagih dadah ditemui di kawasan semak berhampiran rumahnya di Kampung Ulu Legong, Baling, petang tadi. FOTO ihsan PDRM
Safuri Kamarudin

Baling: Lelaki penagih dadah berusia 43 tahun ditemui mati di kawasan semak berdekatan rumahnya di Kampung Ulu Legong, dekat sini, jam 4.23 petang tadi.

Difahamkan, mangsa disedari tidak pulang ke rumah oleh isterinya sejak Selasa lalu jam 6 petang.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, isteri mangsa (pengadu)berusia 44 tahun itu bagaimanapun tidak membuat laporan polis sepanjang kehilangan lelaki terbabit sehinggalah mayatnya ditemui oleh orang kampung petang tadi.

Katanya, selepas penemuan mayat suaminya, wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Baling.

"Siasatan awal mendapati suami pengadu yang juga seorang penagih tidak pulang ke rumah sejak Selasa lalu hingga ke hari ini.

"Dia ditemui oleh orang kampung di bawah cerun berhampiran dengan rumahnya kira-kira 15 hingga 20 meter.

"Semasa menjumpai mayatnya dalam keadaan tertiarap dan tiada sebarang kesan luka pada tubuh si mati dan punca kematiannya disyaki akibat terlebih dos dadah," katanya dihubungi di sini.

Beliau berkata, mayat lelaki terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.

"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 10:41 PM