BERNAMA

MAJLIS Perubatan Malaysia berhak menggantung atau memecat mana-mana pengamal perubatan yang didapati terbabit dalam penjualan sijil cuti sakit palsu.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, adalah menjadi kesalahan sekiranya pengamal perubatan mengeluarkan sijil sakit palsu tanpa melakukan pemeriksaan kesihatan dan mereka berisiko dikeluarkan daripada senarai pengamal perubatan.

“Siasatan akan dibuat terhadap pengamal perubatan (sekiranya terbabit). Kalau bukan pengamal perubatan, tindakan yang diambil adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Jika MC dikeluarkan tanpa pengetahuan doktor dan dapat membuktikan bahawa dia bukan sebahagian daripada sindiket itu, dia boleh membuat aduan, tidak ada tindakan yang akan diambil terhadapnya.

“Apa yang perlu dilakukan oleh kita (kementerian) ialah memastikan doktor kita bukan sebahagian daripada sindiket itu, “katanya.

Laporan mengenai sindiket mc palsu tumpas semalam.
Laporan mengenai sindiket mc palsu tumpas semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kes penahanan enam individu termasuk dua penjawat awam yang disyaki terlibat dalam penjualan sijil cuti sakit palsu dalam beberapa serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dilaporkan berkata bahawa pihaknya membuat melakukan pemeriksaan ke atas tiga rumah yang didiami kesemua suspek dan merampas sebanyak 4,631 keping sijil cuti sakit klinik dan hospital kerajaan, 257 buku sijil cuti sakit bersama buku resit rasmi klinik swasta dan 216 pelbagai jenis cop doktor klinik swasta dan kerajaan dalam serbuan berkenaan.

Terdahulu, Dr Lee yang merasmikan Kempen Derma Darah Ke-25 anjuran Kwan Inn Teng Temple Petaling Jaya berkata, program itu dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN) merupakan program yang patut dicontohi oleh penganjur kempen derma darah lain.

Hadir sama Pengarah PDN Dr Noryati Abu Amin.

Menurutnya, pihak kuil ini ada menubuhkan satu sistem bersepadu bagi memastikan proses kempen lancar, selain menggalakkan lebih ramai hadir menderma darah pada kempen yang diadakan setiap 1 Mei bermula 1995.

“Saya dimaklumkan bahawa kempen ini dapat mengumpulkan lebih daripada 27,000 beg sejak 24 tahun yang lalu, ini merupakan sumbangan yang menakjubkan kepada masyarakat dan kemanusiaan dan hari ini, pihak penganjur mensasarkan untuk mengumpul sebanyak 2,000 beg darah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 5:25 PM