DR Hendrik (kanan) menyerahkan baucar kepada penuntut kurang berkemampuan di Dewan Budi Siswa, Pusat Budaya dan Seni UUM, semalam. FOTO ihsan UUM
DR Hendrik (kanan) menyerahkan baucar kepada penuntut kurang berkemampuan di Dewan Budi Siswa, Pusat Budaya dan Seni UUM, semalam. FOTO ihsan UUM
Noorazura Abdul Rahman


SERAMAI 100 penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, yang kurang berkemampuan menerima baucar makanan RM5 sehari menerusi program Foodbank Malaysia bagi memastikan mereka tidak mengikat perut.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM Prof Madya Dr Hendrik Lamsali berkata, baucar dinamakan ‘Suspended Meal Voucher’ itu boleh digunakan bermula hari ini hingga 20 Jun ini.

Katanya, pemberian baucar itu hasil program diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama UUM.

“Program ini sangat tepat pada masanya kerana fokus kerajaan pada masa ini adalah meringankan beban kos sara hidup rakyat terutama golongan berpendapatan rendah atau kumpulan B40.

“Semua penerima boleh menggunakannya di mana-mana kafeteria dalam kampus ini dengan menyerahkan baucar sebagai ganti wang untuk membeli makanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kelancaran program itu diharap dapat mengurangkan beban keluarga menyediakan wang saku kepada anak yang mengikuti pengajian di UUM.

Malah, beliau yakin program itu akan meningkatkan motivasi dalam kalangan penerima supaya meneruskan pengajian dengan lebih baik dan cemerlang.

Dalam pada itu, UUM berharap pihak yang ingin menyalurkan sumbangan ke tabung kebajikan pelajar boleh menghubungi Jabatan Hal Ehwal Pelajar di talian 04 9284011 atau 04 9284013 untuk keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 10:50 AM