DR Hendrik (tengah) bersama Dr Noriza dan Presiden-presiden Inasis.
DR Hendrik (tengah) bersama Dr Noriza dan Presiden-presiden Inasis.
Samsudin Oli Mohamed
rencana@hmetro.com.my


MAHASISWA Universiti Utara Malaysia (UUM) disaran mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam penganjuran aktiviti secara bersemuka membabitkan pelajar kampus ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Prof Madya Dr Hendrik Lamsali berkata, sejak PKP diumumkan tahun lalu pelajar UUM tidak dihalang untuk menjalankan aktiviti namun perlu mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Pelajar boleh jalankan aktiviti dengan memohon kebenaran dan mematuhi peraturan serta SOP yang ditetap sebaiknya.

"Dalam apa juga aktiviti yang dilakukan, pastikan imbasan suhu badan dijalankan, memastikan penjarakan fizikal melalui tatacara keselamatan dan kesihatan, sentiasa memakai pelitup muka, kerap gunakan pensanitasi tangan serta mematuhi segala peraturan,

" katanya selepas melancarkan Briged Kasih dan Bakul Kasih anjuran Presiden Jawatankuasa Pembangunan Siswa (MPJ) Inapan Siswa UUM, baru-baru ini.

Dr Hendrik berkata, Briged Kasih disertai lapan Inapan Siswa di kampus itu ditubuhkan untuk memberi sumbangan kepada pelajar dari Inapan Siswa yang memerlukan sumbangan termasuk yang terbabit dengan banjir, kebakaran atau memerlukan khidmat nasihat dan kewangan.

"Menerusi Briged Kasih ini, MPJ akan bekerjasama dengan Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD) HEP UUM untuk mengenal pasti atau menerusi pemerhatian pelajar yang memerlukan sumbangan.

"Bantuan itu juga termasuk pelajar yang memerlukan sumbangan komputer riba atau barangan makanan serta keperluan harian melalui Food Bank," katanya.

ANTARA penerima Bakul Kasih.
ANTARA penerima Bakul Kasih.

Sempena majlis perasmian dan pelancaran Briged Kasih itu 10 pelajar mewakili lapan Inapan Siswa menerima Bakul Kasih mengandungi barangan makanan dan keperluan harian.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Perniagaan Islam (IBS) Dr Noriza Abd Aziz yang mewakili Jawatankuasa Pembangunan dan Komuniti Pusat Pengajian IBS menyampaikan sumbangan RM1,000 bagi projek Bakul Kasih MPJ.

Di majlis itu juga Dr Hendrik bersama Pengarah SSSD, Prof Madya Dr Rajwani Md Zain dijemput sebagai tetamu forum bersama Presiden MPJ Muhammad Saniy Samsudin bagi mengupas mengenai kebajikan pelajar dan bersoal jawab dengan pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 6:30 AM