DR Hendrik (empat kanan) bergambar bersama Nurul Najwa (lima kanan) dan bapanya Johari ketika melawat ke rumah mereka di Pasir Puteh. FOTO ihsan UUM
DR Hendrik (empat kanan) bergambar bersama Nurul Najwa (lima kanan) dan bapanya Johari ketika melawat ke rumah mereka di Pasir Puteh. FOTO ihsan UUM
Noorazura Abdul Rahman


BAPA kepada penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) Nurul Najwa Mohd Johari, 22, akan ditempatkan pusat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Pemasaran itu meneruskan pengajiannya.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA), Profesor Madya Dr Hendrik Lamsali berkata, perkara itu dapat dicapai hasil rundingan antara Naib Canselor (NC) UUM, Profesor Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani bersama Ketua Pengarah JKM, Zulkifli Ismail baru-baru ini.

Katanya, bapa Nurul Najwa iaitu Mohd Johari Said, 55, akan ke pusat jagaan JKM sehingga tamat pengajiannya iaitu dalam tempoh dua tahun lagi.

“Saya tidak tahu bagaimana hendak ucapkan terima kasih apabila dimaklumkan mengenai perkara ini oleh NC, beliau sangat komited bagi membantu Nurul Najwa selepas siswi ini membayangkan terpaksa berhenti belajar berikutan mahu menjaga bapanya yang sakit angin ahmar.

“Semalam pihak saya juga telah berkunjung ke rumah Nurul Najwa di Pasir Puteh, Kelantan untuk memaklumkan berita gembira itu selain menyerahkan sumbangan daripada Tabung Kebajikan UUM sebanyak RM2,000 bagi membantu meringankan beban mereka dua beranak,” katanya dalam kenyataan di Sintok, hari ini.

Selain itu, Hendrik berkata, pihaknya akan membantu menguruskan permohonan kewangan zakat UUM berikutan dia kini hanya mengharapkan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Katanya, bantuan wang zakat secara bulanan itu sangat diperlukan siswi ini bagi menampung perbelanjaan semasa di universiti.

Sementara itu, Nurul Najwa ketika dihubungi berkata, dia sangat bersyukur apabila dimaklumkan mengenai perkara itu sekaligus dapat meneruskan pengajiannya di UUM.

“Sebelum dua minggu habis cuti semester pada September ini, saya difahamkan bapa saya akan ditempatkan di Desa Bina Diri JKM (lokasi belum ditentukan) sehinggalah tamat pengajian dalam tempoh dua tahun lagi, saya akan kembali menjaga bapa.

“Sebagai anak tunggal, saya bertanggungjawab sepenuhnya kepada bapa saya, sebab itu sebelum ini saya hampir membuat keputusan untuk berhenti belajar, penyakit angin ahmar dan nyanyuk yang dihidapi bapa memerlukan penjagaan rapi,” katanya.

Sebelum ini, saudara-mara Nurul Najwa pernah menjaga bapanya termasuk pernah ditempatkan di Rumah Seri Kenangan Pengkalan Chepa lebih sebulan. Bagaimanapun, memandangkan usianya tidak cukup 60 tahun maka terpaksa dikeluarkan dari situ.

Ibu Nurul Najwa sudah meninggal dunia sejak 2015 akibat penyakit talasemia.

Berita berkaitan:

  • UUM bantu Nurul Najwa
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 10:29 AM