GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Melvin Joni


ANJING yang dikurung di dalam kawasan rumah tidak boleh ditembak dengan ubat pelali bagi membolehkan ia divaksinkan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, itu adalah arahan diberikan kepada pasukan penguat kuasa terbabit dalam operasi anti rabies yang sedang dijalankan.

“Operasi anti rabies adalah sangat mencabar dan kadang-kadang bukan mudah untuk penguat kuasa menangkap terutama anjing liar.

“Kami memberikan arahan sangat jelas, anjing yang ada di dalam kawasan rumah yang hendak divaksinkan tidak boleh ditembak menggunakan ubat pelali,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau ketika ditemui selepas menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Pertanian Sarawak dan Earthling Coffee Workshop Sdn Bhd di Auditorium Mahkamah Lama di Kuching, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas video yang tular di media sosial menunjukkan anggota penguat kuasa operasi rabies menembak anjing dengan ubat pelali di dalam kawasan sebuah rumah.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, beliau sudah melihat video berkenaan dan sedang menunggu laporan penuh mengenainya.

“Kami akan mengkaji semula operasi ini pada 9 April dan mereka akan menjelaskan kepada saya untuk ‘post mortem’,” katanya.

Uggah berkata, fasa pertama operasi anti rabies yang bermula 1 Mac lalu dijalankan di daerah Bau dan Lundu, yang mana kira-kira 1,700 anjing liar sudah dikeluarkan dari kedua-kedua kawasan ini.

“Bagi kedua-dua daerah ini, kami mendapati ada beberapa isu yang mana segelintir mereka tidak menyedari operasi sedang dijalankan dan ada juga yang tidak tahu tujuan operasi,” katanya.

Katanya, operasi itu kini berada di fasa kedua meliputi daerah Padawan dan Samarahan mulai 4 sehingga 8 April.

“Kami sudah mengarahkan Pegawai Daerah untuk memaklumkan kepada penduduk setempat mengenai operasi ini dan kami cuba untuk melakukannya sebaik mungkin walaupun agak sukar,” katanya.

Sementara itu, Uggah mengingatkan pemilik kucing supaya berwaspada kerana rabies kini mula menular kepada haiwan berkenaan.

“Sekiranya kucing kelihatan sakit, sila laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak atau jika digigit kucing, anda mesti cepat membuat pemeriksaan dan rawatan di hospital,” katanya.

Kebimbangan rabies di Sarawak kini memuncak apabila seekor kucing Kampung Tambirat, Kota Samarahan disahkan positif rabies.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 8:05 PM