DATUK Seri Dr Sim Kui Hian ketika mengadakan sidang media di Wisma Bapa Malaysia berhubung perkembangan terkini wabak COVID-19 di Sarawak hari ini. FOTO JPBN
DATUK Seri Dr Sim Kui Hian ketika mengadakan sidang media di Wisma Bapa Malaysia berhubung perkembangan terkini wabak COVID-19 di Sarawak hari ini. FOTO JPBN
Mohd Roji Kawi


JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengadakan mesyuarat harian menerusi persidangan video berikutan beberapa ahli jawatankuasa itu termasuk Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku pengerusi diarah menjalani kuarantin di rumah.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, beliau memberi jaminan pihaknya akan tetap melaksanakan tanggungjawab membendung wabak Covid-19, walaupun masing-masing terpaksa bekerja dari rumah.

“Selain bermesyuarat menerusi persidangan video, kami juga sentiasa berhubung melalui telefon bimbit bagi membincangkan perkara yang amat penting untuk memastikan kelancaran operasi pencegahan wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Uggah dibantu oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr.Sim Kui Hian, Menteri Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Aaron Dagang serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ik Pahon dan Datuk Mohamad Abu Bakar Marzuki dalam JPBN.

“Kami memberi jaminan...tidak ada yang menghalang dalam usaha kami bersama untuk melawan penyakit yang amat ditakuti ini.

“Ketika ini, kami mengadakan mesyuarat setiap hari melalui persidangan video kerana kami tidak boleh meninggalkan rumah,” katanya sambil memaklumkan pendekatan itu dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak sejak minggu ini.

Antara yang turut mengambil bahagian dalam persidangan video itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), RTM, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri, Jabatan Penerangan, Jabatan Imigresen, Jabatan Kesihatan serta semua Pejabat Residen dan Pejabat Daerah.

Uggah berkata, Sekretariat JPBN di Wisma Bapa Malaysia akan terus beroperasi sepanjang masa, begitu juga dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat bahagian.

“Kami perlu mengambil langkah selamat dan saya berharap semua akan selamat serta mematuhi arahan supaya tinggal di rumah dalam masa yang sukar ini.

“Kita semua perlu bersama dalam usaha untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19. Ini tanggungjawab semua kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 7:06 PM