DOUGLAS Uggah pada sidang media berhubung penangguhan persekolahan di daerah Kuching, Padawan dan Samarahan. FOTO Nadim Bokhari
DOUGLAS Uggah pada sidang media berhubung penangguhan persekolahan di daerah Kuching, Padawan dan Samarahan. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi

PEMBUKAAN semula sesi persekolahan tiga daerah di Sarawak yang sepatutnya bermula esok, ditangguhkan sehingga 3 Ogos depan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia membabitkan sekolah di daerah Kuching, Padawan dan Samarahan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berikutan penularan pandemik Covid-19 di daerah Kuching yang meningkat semula.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) membuat keputusan itu berdasarkan nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Majlis Keselamatan Negara Negeri Sarawak dan persetujuan bersama antara semua pihak termasuk wakil Kementerian Pendidikan Malaysia," katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Lama, Kuching, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata, penangguhan pembukaan semula itu membabitkan Kelas Peralihan, Tingkatan 1, 2, 3 dan 4 dan Tingkatan 6 Rendah.

Bagi Tahun 5 dan 6 sekolah rendah yang dijadualkan bermula esok dan bagi Tahun 1, 2, 3 dan 4 yang dijadual bermula 22 Julai pula, juga ditangguhkan hingga 3 Ogos.

Beliau berkata, sebanyak 138 sekolah dikenal pasti terbabit dalam penangguhan itu iaitu 87 sekolah di Kuching, 48 sekolah di Padawan dan tiga sekolah Samarahan.

"Bagi kelas Prasekolah, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 Atas, sesi persekolahan diteruskan seperti biasa," katanya.

Uggah berkata, bagi sekolah di kawasan hijau yang di luar Kuching, Padawan dan Samarahan, pembukaan sekolah kekal bermula seperti yang dijadualkan iaitu esok.

Sehingga hari ini, Kuching satu-satunya daerah di Sarawak yang masih dikategorikan sebagai zon kuning, merekodkan 351 kes positif Covid-19 dengan 11 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 6:15 PM