Nur Saliawati Salberi


SEORANG bapa dijatuhi hukuman 18 tahun penjara dan 30 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini, atas tiga pertuduhan merogol anak tirinya sejak setahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 41 tahun selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa merogol kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun tiga bulan yang mana hubungan mangsa dengan tertuduh adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin.

Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 puluh tahun dan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan.

Semua perbuatan itu dilakukan tertuduh di rumahnya di Bukit Rambai pada 19 April 2018, 24 Februari dan 11 Mac 2019.

Timbalan Pendakwa Raya Lee Wai Yi memohon kepada mahkamah agar hukuman berat dikenakan kepada tertuduh kerana sebagai bapa, lelaki itu sepatutnya melindungi mangsa bukan berkelakuan sebegitu.

TERTUDUH mengaku bersalah merogol anak tirinya. FOTO Rasul Azli Samad
TERTUDUH mengaku bersalah merogol anak tirinya. FOTO Rasul Azli Samad

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah agar hukuman ringan dikenakan dengan alasan dia adalah penanggung tunggal dalam keluarga serta mempunyai dua anak yang masih kecil.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara 18 tahun serta 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dan hukuman penjara berjalan serentak.

Mengikut fakta kes, pada 26 Mac 2019, jam 7.40 malam, ibu mangsa yang berusia 31 tahun terjumpa buku peribadi milik mangsa.

Di dalam buku berkenaan, mangsa menulis yang bapa tirinya adalah individu jahat serta tidak pernah menjadi bapa kandung.

Susulan itu ibunya bersama ahli keluarga lain bertanyakan hal berkenaan kepada mangsa dan apa yang terjadi sebelum kanak-kanak berkenaan memaklumkan dia dirogol.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 1:12 PM