Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara 19 tahun dan 20 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol anak tirinya.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh yang berusia 30 tahun mengaku salah terhadap dua pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 11 tahun di dalam tandas di sebuah rumah di Marang, jam 3 pagi pada Oktober 2021.

Tertuduh sekali lagi mengulangi kesalahan sama terhadap mangsa di alamat sama jam 3 pagi pada Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan disebat tidak kurang daripada 10 sebatan jika sabit kesalahan.

LELAKI berusia 30 tahun dijatuhi hukuman penjara 19 tahun dan 20 sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana merogol anak tirinya. FOTO Ghazali Kori
LELAKI berusia 30 tahun dijatuhi hukuman penjara 19 tahun dan 20 sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana merogol anak tirinya. FOTO Ghazali Kori

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan.

Mahkamah turut mengarahkan hukuman penjara berjalan secara berasingan bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 12 November lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 2:46 PM