ANTARA individu yang disyaki penagih dadah ditahan AADK. FOTO Khairull Azry Bidin
ANTARA individu yang disyaki penagih dadah ditahan AADK. FOTO Khairull Azry Bidin
Junaidi Ladjana


CUBAAN seorang penagih melarikan diri melalui lubang rahsia di dapur rumahnya gagal apabila ditahan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Tombovo, Putatan, semalam.

Lelaki berusia 40 tahun itu antara 13 penagih yang ditahan dalam Op Cegah bermula 9 malam dan berakhir 4 pagi di kawasan Manggatal dan Putatan.

Terdahulu, seramai 12 penguat kuasa AADK Sabah menyerbu rumah lelaki terbabit dan mengetuk pintu beberapa kali sebelum kedengaran suara namun tiada sebarang respon.

Anggota AADK memberi amaran sebelum pintu itu dibuka oleh seorang lelaki dipercayai bapa saudara suspek.

Pemeriksaan dilakukan tetapi suspek tiada di dalam rumah berkenaan, hanya ada dua anaknya yang berada di bilik.

Seorang anak suspek kemudian memaklumkan bahawa bapanya keluar dari bilik selepas menyedari pintu diketuk.

Pemeriksaan lanjut menemui lubang kecil di dapur sebelum suspek dijumpai dalam keadaan meniarap di bawah kolong rumahnya.

Pengarah AADK Sabah, Bakri Bibi berkata, operasi yang diketuai Erwan Roslan dijalankan berdasarkan aduan orang awam itu memeriksa seramai 15 lelaki disyaki penagih dadah di tiga kampung di Manggatal dan Putatan.

“Hasil ujian air kencing, seramai 13 lelaki positif dadah jenis methamphetamine atau syabu termasuk seorang yang cuba melarikan diri melalui lubang kecil di lantai dapur rumahnya.

“Semua suspek berusia 20 hingga 40 tahun ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Datuk Izhar Abu Talib turut serta dalam operasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 3:06 PM